WILAYAH - TIMUR > BERITA

PROJEK ECRL KELANTAN CAPAI KEMAJUAN 79.81 PERATUS - DARWIS

23/06/2024 09:00 PM

KOTA BHARU, 23 Jun (Bernama) -- Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan yang melibatkan jajaran sepanjang 43 kilometer (km) telah mencapai kemajuan sebanyak 79.81 peratus setakat Mei lepas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata perkembangan ini selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026 dan pengoperasian bermula pada Jan 2027.

Beliau berkata Kelantan akan mempunyai dua stesen ECRL iaitu Stesen Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong bagi tujuan penumpang dan Stesen Pasir Puteh di Kampung Cherang Tuli untuk penumpang serta kargo.

“Stesen ECRL Kota Bharu yang sedang dibina untuk kegunaan penumpang akan melibatkan platform bertingkat dan bakal dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat letak kereta, lokasi pick-up dan drop-off, laluan pejalan kaki berbumbung, kuarters pekerja dan kawasan landskap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra ke tapak pembinaan stesen ECRL di Bandar Baru Tunjong di sini hari ini.

Darwis berkata pembinaan stesen ECRL Kota Bharu akan merangkumi reka bentuk bangunan yang berteraskan konsep ‘Rumah Meleh Melayu’ dan ‘Bunga Ketam Guri’ serta menggunakan ciri-ciri unik kebudayaan Kelantan.

Terdahulu, ketibaan Tengku Muhammad Fakhry di tapak pembinaan stesen itu pada 3.50 petang disambut Darwis, Exco Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin serta Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Baginda diberi taklimat oleh Darwis mengenai progres kemajuan pembinaan ECRL kira-kira 20 minit sebelum berkenan meneruskan lawatan dan dibawa naik ke tapak landasan ECRL menggunakan kenderaan pacuan empat roda sejauh lebih satu kilometer bagi melihat kemajuan pembinaan tapak landasan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke yakin projek ECRL akan dapat disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026 dan mula beroperasi Januari 2027.

Projek ECRL sepanjang 665km yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion itu, bakal menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak dengan hanya mengambil masa empat jam berbanding tujuh jam menggunakan jalan raya atau lebih 12 jam semasa musim perayaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan