WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKAS ISTERI TARIK BALIK LAPORAN POLIS TERHADAP HAFIDZ ROSHDI

12/07/2024 06:11 PM

KUALA KUBU BHARU, 12 Julai (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini dimaklumkan bahawa bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri telah menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap pelakon itu berhubung pertuduhan mencederakan wanita tersebut.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, ketika dihubungi berkata Nurul Shuhada telah menarik balik laporan polis itu pada 6 Julai lepas.

Susulan itu, beliau memaklumkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula pada 2 Ogos ini untuk pendakwaan menentukan sama ada kes akan diteruskan atau sebaliknya.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Pelakon drama itu didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada 3.22 pagi 2 Mac tahun lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan