WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penampilan Terbaik Gavin Di Olimpik Paris 2024

05/08/2024 02:28 AM

PARIS, 4 Ogos (Bernama) -- Penampilan pemain golf profesional negara Gavin Green di Sukan Olimpik Paris 2024 menunjukkan peningkatan selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-33 daripada 58 pemain dalam acara individu lelaki hari ini.

Pada edisi 2016 di Rio dan Tokyo 2020, Gavin menamatkan saingan masing-masing di kedudukan ke-47 dan 57.

Pada saingan yang berlangsung di Le Golf National, pemain berusia 30 tahun itu berkongsi kedudukan dengan Fabrizio Zanotti dari Paraguay, apabila masing-masing mengumpul keseluruhan tiga bawah par 281, dengan Gavin terlebih dahulu menyempurnakan dua bawah par 69 pada pusingan keempat hari ini.

Pusingan berkenaan menyaksikan beliau melakukan bogey di lubang kedua, keempat dan ke-17 serta melakukan birdie di lubang ketiga, ketujuh, kesembilan, ke-10 dan ke-11. 

"Prestasi ada sedikit naik dan ada turun, permulaan perlahan tapi ia satu pemulihan yang baik dan menamatkan saingan di bawah par di sini, saya terima. Ada beberapa perkara yang saya tidak gembira, dan perlu diusahakan lagi tapi ia pencapaian yang agak baik di Olimpik,” katanya kepada pemberita. 

Scottie Scheffler dari Amerika Syarikat memperoleh pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 19 bawah par 265 manakala atlet Great Britain, Tommy Fleetwood meraih perak dengan 18 bawah par 266. 

Pingat gangsa pula dimenangi Hideki Matsuyama dari Jepun yang merekodkan 17 bawah par 267. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan