WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Warga emas maut ditikam dengan gunting di kepala ketika cuba lerai pergaduhan

13/08/2024 07:09 PM

KEPALA BATAS, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita warga emas maut ditikam di kepala dengan gunting ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua beranak di sebuah rumah di Pekan Darat di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, ketika kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa berada di rumah berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dengan ibunya berusia 70-an.

Wanita berusia lingkungan 80-an itu cuba meleraikan pergaduhan sebelum lelaki terbabit yang juga anak saudaranya bertindak mengambil sebilah gunting di atas meja lalu menikam bahagian kiri kepala mangsa.

Lelaki terbabit kemudian mengamuk dengan memecahkan cermin rumah saudaranya yang lain di kawasan berhampiran sebelum orang ramai menghubungi polis.

Suspek berjaya ditahan polis tidak jauh dari kediamannya ketika cuba melarikan diri.

Sumber berkata mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan sebelum dilaporkan meninggal dunia manakala ibu kepada suspek yang mengalami kecederaan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman esok.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan