WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wira Insiden Tembakan Balai Polis Ulu Tiram Pimpin Ikrar Rukun Negara, Laungan Merdeka

31/08/2024 09:23 AM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Wira insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024  hari ini.

Suasana menjadi lebih bermakna apabila suara lantang Mohd Khairul melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Putrajaya, seolah-olah mengimbau detik bersejarah laungan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Acara bacaan ikrar itu turut disertai 66 pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei lepas, dua anggota polis di balai berkenaan terkorban selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang.

Sementara itu, pensyarah yang juga penyelaras dan jurulatih bagi bacaan ikrar pasukan IPG Kampus Ilmu Khas, Saiful Azam Khoo Abdullah berkata penampilan kali ketiga pasukan itu dalam acara penting negara ini dilihat sebagai satu penghormatan besar kepada institusi berkenaan.

“Tahun lepas kami membuat bacaan ikrar dalam bahasa isyarat, kali ini kami melaksanakan bacaan ikrar secara lisan dengan formasi kawad dan pakaian seragam batik,” katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan