WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelajar Teruja Dapat Peluang Beraksi Pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024

31/08/2024 12:04 PM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Peluang menyertai persembahan Hari Kebangsaan 2024 menjadi pengalaman istimewa buat pelajar tingkatan empat Ong Zhen Ming walaupun perlu berlatih selama lima minggu bagi memastikan semuanya berjalan lancar. 

Pelajar  Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chong Hwa itu berkata dia dan 43 rakan pasukan pancaragam sekolah berlatih selepas waktu sekolah supaya tidak menganggu sesi pembelajaran. 

"Saya sangat berbangga dan gembira untuk menyertai acara ini. Kita dapat melihat orang ramai sangat bermotivasi dan bersatu untuk tujuan yang sama dan melihat penyertaan saya sebagai sesuatu yang boleh saya lakukan untuk negara bagi menunjukkan bahawa saya bangga dengannya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Ong, 16, juga memberitahu untuk sambutan tahun ini, beliau dan rakan-rakan bangun seawal 1 pagi untuk bersiap namun tidak menjadi masalah kerana itu hanya pengorbanan kecil untuk Malaysia. 

“Tahun depan, saya harap dapat menyertainya lagi (Hari Kebangsaan) kalau boleh,” tambah Ong.

Bagi pelajar tingkatan lima sekolah sama Ang Zhi Yi, 17, perasaannya agak berbeza pada tahun ini kerana tidak dapat menyertai kumpulan pancaragam membuat persembahan memandangkan dirinya perlu fokus untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Walaupun tidak 'beraksi', Ang tetap hadir bersama rombongan sekolahnya pada awal pagi tadi bagi membantu mereka membuat persiapan akhir di lokasi selain mahu memberikan semangat kepada mereka supaya melakukan yang terbaik. 

"Selalunya saya mengambil bahagian setiap tahun. Selain membantu rakan-rakan bersiap sedia, saya juga tidak mahu ketinggalan suasana Hari Kebangsaan. Lain rasanya hanya datang menyaksikan persembahan itu, tetapi pada masa yang sama, ia juga begitu berharga untuk melihat rakan-rakan saya di luar sana (membuat persembahan)," katanya.

Sementara itu, guru pengiring pasukan pancaragam sekolah itu Pritpal Singh berkata mereka tidak pernah ketinggalan untuk mengambil bahagian pada sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.

"Tahun ini, 44 pelajar sekolah kami mengambil bahagian. Tahun ini sedikit berbeza sebab mereka melakukan formasi, tahun lepas ialah perarakan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan