WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Laungan Merdeka Bergema Di Kota Singa Sempena Sambutan Hari Kebangsaan

31/08/2024 02:31 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 31 Ogos (Bernama) -- “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Jervois Road di sini yang kebiasaannya sunyi sepi, bergema dengan laungan Merdeka pada pagi Sabtu.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di pekarangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura di Jervois Road disertai lebih 80 orang terdiri daripada warga kerja Wisma Putra, pelbagai kementerian dan agensi, serta rakyat Malaysia yang segak berpakaian baju kebangsaan dan batik.

Majlis dimulakan pada 9 pagi dengan upacara tradisi menaikkan Jalur Gemilang diiringi nyanyian lagu Negaraku, disusuli bacaan Rukun Negara diketuai Penasihat Pertahanan Kolonel Rosidi Mat Saad selaku ketua perbarisan.

Upacara perbarisan tahun ini disertai 28 warga kerja suruhanjaya tinggi, serta masing-masing lima pegawai daripada Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Musfatar dalam ucapannya berkata sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka', rakyat Malaysia di Singapura harus terus sama-sama mempertahankan kemerdekaan yang telah dikecapi.

“Ia mengingatkan kita kepada nilai-nilai yang perlu kita pegang demi mencapai kemajuan dan kesejahteraan.

“Malaysia MADANI merupakan lambang kesepaduan secara holistik sebuah negara yang maju dan progresif, menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia di Singapura selaku duta-duta kecil negara dapat terus menjaga nama baik Malaysia dengan mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang republik berkenaan.

Sementara itu ahli Lembaga Penasihat Persatuan Malaysia di Singapura (Masis) Valerie Cheah berharap rakyat Malaysia di republik itu dapat terus merapatkan hubungan antara satu sama lain.

“Saya doakan semua rakyat Malaysia bahagia dan berjaya serta semoga kasih sayang antara kita semua terus bertambah,” katanya.

Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Nasional Singapura (NUS) Joyton Fu Hung Li, 21, berharap sambutan tahun ini dapat terus mengukuhkan hubungan antara segenap lapisan masyarakat sama ada yang berada di Malaysia mahupun di luar negara.

“Selamat Hari Kebangsaan ke-67 Malaysia! Semoga rakyat berbilang kaum dan agama dapat terus bersatu padu untuk mengembangkan negara kita dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan