WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hari Kebangsaan: Pakaian, Kulah Istimewa Tukang Jahit Jadi Tumpuan

31/08/2024 04:11 PM

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Sukar untuk tidak menyedari kehadiran tukang jahit Mohammad Jamil Abdul Hamid pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya hari ini. 

Ini kerana selain pakaian khas berwarna biru, merah, putih dan kuning, Mohammad Jamil, 65, juga mengenakan kulah (kopiah tinggi) yang dilengkapi perkataan 'Daulat Tuanku'. 

"Saya mahu tunjuk istimewanya Malaysia di hati walaupun berdarah Pakistan. Semua pakaian ini dijahit sendiri dan menggabungkan elemen dua negara seperti sut menggunakan corak tradisi Pakistan, manakala warna merah, biru, kuning dan putih mencerminkan Malaysia. 

"Selain itu, kulah juga dihiasi dengan elemen Jalur Gemilang. Setiap tahun, saya memang berhabis untuk menyambut Hari Kebangsaan," katanya yang mengeluarkan belanja hampir RM3,000 bagi menghasilkan pakaian berkenaan.

Mohammad Jamil yang menetap di Kuala Lumpur berkata dia tidak pernah ketinggalan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan sejak 15 tahun lalu, menjadikannya perlu lebih kreatif bagi mencari kelainan baju yang hendak dihasilkan pada tahun depan. 

Bagaimanapun, pakaian rekaannya tetap mengekalkan elemen tradisional kedua-dua negara pada setiap tahun dan pada tahun ini, Mohammad Jamil mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan baju dan seluar. 

"Tetapi kulah mengambil masa selama tiga minggu kerana perinciannya lebih banyak," katanya. 

Pemegang status pemastautin tetap itu mula menetap di negara ini sejak 1964 iaitu pada usia lima tahun selepas bapanya Abdul Hamid Hussin berhijrah ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki sebagai tukang jahit.

Dia berkata bapanya membuka Malayan Signals Corporation Tailor di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur sebelum mengembangkan perniagaan keluarga di Johor. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan