WILAYAH - UTARA > BERITA

"The Light Letters" Buka Jendela Baharu Kajian Sejarah Kedah Dan Kepulauan Melayu

31/08/2024 09:12 PM

Oleh Ima Aimi Nadia Ibrahim

ALOR SETAR, 31 Ogos (Bernama) --  Koleksi Surat-surat Light (The Light Letters) yang merangkumi dokumen bersejarah seperti surat, tulisan dan catatan raja-raja Melayu, pembesar Kepulauan Melayu dan pedagang Inggeris yang ditulis antara 1768 hingga 1794, mampu membuka jendela baharu dalam pengkajian sejarah Kedah dan Kepulauan Melayu.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata koleksi surat tersebut juga berupaya membuka ruang penulisan semula naratif kedudukan Kedah dalam sejarah global suatu masa dahulu.

“Kira-kira 30 peratus daripada koleksi Surat-surat Light menyentuh satu episod kritikal dalam perhubungan diplomasi negeri Melayu iaitu Kedah dengan Inggeris dan beberapa negara Eropah lain serta Siam.

“Koleksi tersebut turut mengandungi surat perbincangan berkenaan Pulau Pinang oleh dua Sultan Kedah iaitu Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II dan anakandanya Sultan Abdullah Mukarram Shah dengan Inggeris,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berkenaan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang yang menjadi universiti pertama diberikan hak mengakses imej digital surat-surat Francis Light oleh School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Ahmad Murad berkata ‘bagai sirih pulang ke gagang’, salinan koleksi Surat-surat Light itu yang diletakkan di bawah Koleksi Warkah-warkah Kepulauan Melayu 1768-1794 di USM turut diserahkan kepada Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit di sini baru-baru ini.

Beliau berkata salinan koleksi Surat-surat Light itu dihimpunkan dalam 11 jilid yang mengandungi 1,200 surat, tulisan dan catatan oleh raja-raja Melayu, pembesar Kepulauan Melayu, isteri-isteri bangsawan Melayu, Francis Light dan beberapa pedagang Inggeris dalam tempoh 27 tahun antara 1768 hingga 1794.

Beliau menjelaskan penyerahan salinan itu kepada Sultan Kedah disifatkan sangat signifikan dalam konteks sejarah Kesultanan Melayu.

Beliau berkata Sultan Sallehuddin amat berbesar hati menerima salinan koleksi surat tersebut dan baginda juga telah dimaklumkan mengenai penyimpanan koleksi tersebut di USM yang kini boleh diakses dengan mudah oleh orang ramai.

“Sultan Kedah amat berminat dengan sejarah dan berbesar hati menerima koleksi surat itu secara peribadi. Diingatkan bahawa koleksi Surat-surat Light ini yang merupakan sebahagian koleksi manuskrip Melayu terbesar di dunia dipulangkan kepada Sultan Kedah dan bukannya kerajaan Kedah,” katanya.

Ahmad Murad berkata banyak lagi koleksi surat bersejarah berkaitan Kepulauan Melayu yang masih tersimpan di SOAS, British Library dan universiti lain di Britain yang sedang diusahakan untuk didigitalkan dan dibawa pulang ke negara ini termasuk surat berkaitan Kedah dan Francis Light, The Thalang Letters.

Sebelum ini, USM dilaporkan menerima akses digital menerusi persetujuan yang dicapai dengan SOAS menerusi memorandum perjanjian Loan of Light Letters yang ditandatangani pada Sept 2018, iaitu  kesemua imej digital koleksi Surat-surat Light kini boleh diakses secara dalam talian dengan percuma oleh penyelidik dan orang awam.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad Murad berkata ketika bertugas di USM, beliau telah mengemukakan cadangan kepada SOAS pada 2010 untuk mendigitalkan Surat-surat Light, menyediakan portal yang dapat diakses oleh orang awam, merumikan semua surat tersebut daripada tulisan jawi dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris.

“Kebenaran membawa pulang imej digital koleksi itu hanya diperoleh setelah proses hak cipta diselaraskan dan akhirnya pada 2017 saya serahkan koleksi Surat-surat Light kepada USM. Satu perjanjian telah dijalinkan antara USM dan SOAS pada 2018 yang memberi hak kepada USM menyimpan dan mengendalikan imej koleksi surat itu,” katanya.

Beliau berkata usaha tersebut disifatkan sebagai ‘menyahjajahkan’ dan ‘memerdekakan’ koleksi surat tersebut yang berasal dari rantau ini dan sebelum ini tersimpan kira-kira 200 tahun di SOAS.

Beliau berkata akses terhadap koleksi surat tersebut akan membolehkan orang ramai mendapat manfaat terutama penyelidik untuk meneliti dokumen berkenaan bagi menjalankan kajian dan menghasilkan tesis berkaitan sejarah Kepulauan Melayu.

“Koleksi yang telah diperoleh ini juga akan dipamerkan di beberapa institusi di seluruh negara sebagai strategi pendidikan serta meningkatkan kesedaran mengenai sejarah negara dan dengan itu sejarah negara termasuk Kedah dapat diselaras dan diluruskan,” katanya.

Ahmad Murad turut merakamkan penghargaan kepada beberapa pihak yang turut memainkan peranan penting dalam usaha membawa pulang koleksi surat tersebut antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Universiti Teknologi Petronas serta USM yang menyelaras pendigitalan koleksi surat itu, usaha yang dijalankan sejak 2011 hingga 2017.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan