WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hari Kebangsaan Ke-67: Pasangan Bertuah Terima Kelahiran Bayi Merdeka

31/08/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 hari ini memberi kegembiraan berganda kepada pasangan suami isteri bertuah apabila pada tarikh keramat itu mereka turut menyambut kelahiran “bayi Merdeka” sebagai pewaris keluarga.

Tinjauan Bernama di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur mendapati selepas detik 12 tengah malam hingga 10 pagi tadi terdapat 12 kelahiran direkodkan dengan bayi pertama ialah perempuan yang dilahirkan pada 12.51 tengah malam oleh ibunya Fazreenhani Mohamad Johan.

Di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor pula setakat 11 pagi tadi,  lima bayi Merdeka direkodkan dan antara ibu yang menimang cahaya mata sulung ialah Adibah Aqilah Shafee, 25, dan Ainur Rahmah Ruslan, 26, yang masing-masing melahirkan bayi perempuan pada 2 pagi dan 2.30 pagi.

 Mereka antara ibu yang diraikan pada Program Menyambut Bayi Merdeka HTAR sempena Hari Kebangsaan ke-67 yang dihadiri Exco Alam Sekitar dan Kesihatan Selangor Jamaliah Jamaluddin pada pagi ini.

Di Hospital Putrajaya, tiga bayi lelaki dan tiga bayi perempuan dilahirkan setakat 3 petang ini dengan bayi pertama dilahirkan pada 12.39 tengah malam tadi.

Ibu muda, Iffatun Nisa Abdul Halim, 26, berkata tidak menyangka akan bersalin awal kerana tarikh beliau dijadualkan bersalin sepatutnya pada Hari Malaysia 16 Sept dan berharap bayi sulung lelakinya itu akan membesar sebagai anak yang berjiwa patriotik. 

Di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kelantan, 13 bayi iaitu lima lelaki dan lapan perempuan dilahirkan di hospital itu setakat 10 pagi tadi dengan bayi pertama dilahirkan pada 12.14 tengah malam.  

Di Kedah, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ismuni Bohari berkata tujuh bayi perempuan dan sembilan bayi lelaki dilahirkan di hospital kerajaan di negeri itu setakat 8 pagi tadi.

"Enam bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar manakala  lima bayi di Hospital Kulim, empat bayi di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan seorang bayi di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan Bernama di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban pula mendapati 12 bayi dilahirkan di hospital itu setakat 12 tengah hari tadi iaitu tujuh bayi perempuan dan lima lelaki, dengan setiap ibu  menerima sumbangan hamper berupa barangan bayi dan wang tunai daripada Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Co-opbank Pertama.

Di Pahang, 13 bayi merdeka dilahirkan di hospital seluruh negeri itu setakat 12 tengah hari tadi dengan sembilan daripadanya bayi perempuan dan empat lelaki. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata Hospital Sultan Haji Ahad Shah, Temerloh mencatatkan jumlah kelahiran tertinggi dengan enam bayi, diikuti Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (lima) dan Hospital Pekan, dua kelahiran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan