WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Esther sasar Jadi Triatlet Malaysia Pertama Beraksi Di Olimpik

31/08/2024 07:02 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Pemenang tiga pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Esther Joy Chen berharap untuk menjadi triatlet Malaysia pertama beraksi di Sukan Olimpik.

Juara triatlon kebangsaan berusia 21 tahun itu telah meletakkan sasarannya untuk membuat penampilan di Olimpik Brisbane 2032, tetapi akan gigih berusaha untuk merebut peluang bertanding lebih awal di edisi Los Angeles 2028.

Bagi merealisasikan impiannya, dia berkata tumpuannya kini adalah untuk meningkatkan kemahiran renang berbanding dua lagi disiplin triatlon iaitu berbasikal dan berlari.

“Saya berharap menjadi atlet Malaysia pertama berjaya ke Sukan Olimpik dalam acara triatlon. Saya sentiasa bercita-cita pergi ke Sukan Olimpik dari dahulu lagi, jadi saya rasa seperti keghairahannya sentiasa ada, sama ada saya berjaya atau tidak adalah sesuatu perkara yang lain, tetapi tidak rugi untuk mencuba.

“Saya rasa LA (edisi 2028) kelihatan terlalu dekat, mungkin edisi 2032, tetapi jika saya boleh ke LA, sudah tentu saya mahu pergi. Buat masa ini, renangan saya ialah perkara yang menghalang saya, saya mahu perbaiki renangan saya dan seterusnya kedudukan secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada SUKMA 2024 di Kuching, Sarawak baru-baru ini, Esther membuat penampilan sensasi terakhir pada acara sukan dwitahunan itu dengan memenangi emas untuk Selangor dalam acara 5,000 meter (m), 10,000m dan 3,000m lari jauh berhalangan wanita.

Penyertaan Esther dalam olahraga adalah disebabkan triatlon tidak dipertandingkan di SUKMA. Dia merupakan atlet wushu dalam SUKMA 2018 di Perak sebelum menyertai acara larian dan triatlon selepas wabak COVID-19 melanda.

Beliau sebelum ini mewakili Malaysia di Sukan SEA Hanoi pada 2022 dan menduduki tempat keenam dalam acara triatlon wanita elit.

Idola triatlon beliau ialah pemenang pingat emas Olimpik 2020 Flora Duffy dari Bermuda dan Juara Dunia Ironman 2023 Lucy Charles-Barclay dari England.

Sementara itu, selain menyasarkan untuk muncul di Sukan Olimpik, anak ketiga daripada empat beradik itu turut bercita-cita untuk membuka kafe sendiri.

“Dulu keluarga saya tiada duit, jadi kami tidak pergi makan di luar, tetapi apabila kami (adik-beradik) semakin dewasa, mak ada duit sikit, jadi sekali-sekala kami dan mak akan berkunjung ke kafe, ini merupakan perkara yang istimewa, saya rasa kafe ialah tempat yang menarik, istimewa dan menenangkan,” katanya.  

Esther juga mahir dalam membuat kek kerana sering membantu ibunya di dapur semasa perayaan Krismas.

“Dari kecil saya suka membuat kuih, mula-mula tolong mak setiap Krismas dan akhirnya mak sibuk, jadi setiap Krismas saya yang buat kuih. Bermula dengan biskut, kemudian kek hari jadi, sekarang buat roti doh masam dan semua yang sangat sedap,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan