WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Pemerdagangan Orang: Polis Buka Kertas Siasatan Terhadap Bekas Timbalan Menteri

31/08/2024 09:11 PM

KUALA NERUS, 31 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penglibatan seorang bekas Timbalan Menteri dalam sindiket pemerdagangan orang di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang mengesahkan perkara itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan sebarang spekulasi.

“Polis sudah membuka kertas siasatan dan saya letak sepenuh kepercayaan terhadap profesionalisme polis apabila mereka sudah buka fail tentang perkara itu," katanya kepada pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Balai Raya Pulau Redang di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia telah menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Rabu lepas untuk menyiasat seorang ahli politik bersama suaminya yang didakwa terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Saifuddin Nasution turut memaklumkan hasil Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan di Laos yang dihadirinya baru-baru ini.

"Apa yang diperakukan oleh semua negara ialah trend pemerdagangan orang yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata hampir semua negara ASEAN memiliki undang-undang bagi mengekang jenayah itu termasuk Malaysia iaitu Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan