WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kejayaan Kerajaan Perpaduan Suburkan Islam Jejas Naratif Islam Terancam Ciptaan Pas

13/09/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Kejayaan Kerajaan Perpaduan menyuburkan Islam di Malaysia menjejaskan naratif ‘Islam terancam’ yang dicipta oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, kata Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata naratif itu adalah hasil idea pemikir strategi PAS bagi mendepani Kerajaan Perpaduan.

“Justeru, tidak pelik sekali lagi beliau terpaksa mengukuhkan naratif Islam terancam di khalayak peserta Muktamar PAS dengan menggambarkan kononnya bukan Islam naik kepala kerana pemimpin lemah dengan modal terbaru ialah menunggang isu Halal yang tercetus kerana ucapan (Ahli Parlimen Seputeh) Teresa Kok,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata pelbagai pihak dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pempengaruh dan pimpinan Pemuda UMNO telah membuat teguran mengenai perkara itu selain pihak berkuasa turut menjalankan siasatan terhadap Kok berhubung kenyataannya.

Mohd Khairuddin berkata beliau turut memberikan pandangan dalam isu mewajibkan persijilan halal kepada pengusaha makanan bukan Islam sebagai respons kepada kenyataan Naib Pengerusi DAP itu.

“Itu semua gambaran ketegasan Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa dan menyuburkan Islam khusus dalam isu yang boleh disensasi atau disalahfahamkan,” katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Kabinet untuk isu persijilan halal yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Oktober tahun lepas memutuskan bahawa permohonan akan diproses dalam tempoh 23 hari bekerja sebagai satu pembaharuan dalam aspek teknikal.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata agama Islam di Malaysia subur menerusi pelbagai agenda baharu pendidikan antaranya Pra Tahfiz di lebih 10,000 Tadika KEMAS seluruh negara dengan sasaran 140,000 huffaz cilik pada 2026.

Beliau berkata kesemua 57 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) membabitkan 37,000 pelajar beraliran sains juga diarah menggunakan sistem integrasi Sains dan Tahfiz dikenali sebagai Ulul Albab bagi melahirkan profesional huffaz.

Mohd Khairuddin berkata sambutan Himpunan 24,000 Huffaz pada 14 Sept ini juga adalah syiar kepada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 yang pelan tindakannya dilancarkan tahun lepas.

Beliau berkata cadangan sukatan integrasi Tahfiz Ulul Albab ke sekolah rendah dan menengah agama bantuan kerajaan oleh Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO dalam ucapan dasar semasa perhimpunan agung parti itu turut mencerminkan komitmen pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Sila bandingkan dengan ucapan dasar Presiden PAS yang banyak beretorik… semua agenda Islam dan umat ini memencilkan PAS di persada perjuangan Islam yang dilaung-laungkan sebagai slogan kosong.

“Ini semua mendesak Presiden PAS (sehingga) terpaksa berucap sepertimana ucapan-ucapan sebelumnya dalam Muktamar PAS yang banyak beretorik berbanding gerak kerja yang signifikan untuk umat Islam di Malaysia dan antarabangsa,” katanya. 

Mohd Khairuddin berkata di mata dunia, Malaysia di bawah kepimpinan Anwar turut menjuarai isu Palestin di pentas antarabangsa sepertimana ucapan tegas beliau ketika sepentas dengan Presiden Rusia serta China dan rakyat Palestin memberikan penghormatan besar terhadap usaha beliau.

Beliau juga berkata segala komitmen Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan diperakui oleh tokoh ulama dunia termasuk Ketua Institusi Al-Azhar (Sheikh Al-Azhar), Al-Imam Al-Akbar Sheikh Profesor Dr Ahmed Mohammed Al-Tayyib dan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia Sheikh Profesor Dr Ali Al-Qaradaghi. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan