WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Peluang Sertai Anugerah Sarawak DEA 2024 Dibuka Sehingga 23 September

18/09/2024 07:44 PM

KUCHING, 18 Sept (Bernama) -- Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) mempelawa penyertaan bagi Anugerah Ekonomi Digital Sarawak 2024 yang dibuka sehingga 23 September ini.

Dalam kenyataannya, SMA yang mewakili kerajaan negeri Sarawak, berkata penganjur mengalu-alukan penyertaan bagi merebut peluang menyumbang kepada masa depan digital negeri itu menerusi Anugerah Sarawak DEA 2024 berkenaan.

“Anugerah berprestij ini meraikan inovasi serta transformasi yang merentasi pelbagai sektor,” kata SMA.

Agensi itu berkata ini juga sejajar dengan peranan Sarawak DEA 2024 sebagai ciri utama Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2024.

Majlis penyampaian anugerah itu dijadualkan pada 17 Okt, 2024 yang juga serentak dengan penganjuran edisi ketujuh IDECS.

Selain mengetengahkan aspek inovasi, kerjasama dan kemajuan digital, anugerah itu turut menjadi platform bagi kalangan mereka yang berwawasan, perintis dan inovator mempamerkan sumbangan mereka terhadap kemajuan digital Sarawak.

Menurut SMA, ini merangkumi kategori seperti  perusahaan mikro, kecil dan sederhana, penyelidikan dan pembangunan, syarikat pemula niaga teknologi, kerajaan digital, kemampanan dan Industri 4.0.

Pada masa sama, tumpuan khusus turut diberikan dalam bentuk Anugerah Ekonomi Digital Premier Sarawak yang mengiktiraf pencapaian paling cemerlang dalam kalangan pemenang kategori berkenaan.

Di bawah kepimpinan berwawasan Premier Tan Sri Abang Johari Openg, IDECS telah berkembang sebagai platform global bagi memacu kecemerlangan digital serta memupuk kemajuan sosioekonomi, kata SMA.

“Antara bukti hasil daripada IDECS adalah penubuhan institusi utama seperti Bank Pembangunan Sarawak dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak," katanya.

Maklumat lanjut mengenai penyertaan dan penganjuran Sarawak DEA 2024 boleh didapati menerusi https://digitaleconomyawards.com manakala serahan permohonan secara dalam talian di https://dea2024.ireka.my.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan