WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Monsun: Kerajaan Akan Perkenal Dasar Pengurusan Risiko Bencana Negara

26/09/2024 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan dasar pengurusan risiko bencana negara sebagai langkah persediaan menghadapi fasa peralihan monsun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dasar yang sedang digubal Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam memastikan negara lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi bencana terutamanya dalam konteks perubahan iklim serta cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata dasar itu juga bertujuan mengurangkan risiko bencana dengan mengarusperdanakan konsep Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dalam setiap sektor pembangunan negara.

“DRR bukan sahaja melibatkan penyediaan infrastruktur, tetapi juga peningkatan kesedaran, pencegahan dan kerjasama antara kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan), sektor swasta serta masyarakat.

“Saya percaya, kejayaan dasar ini memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak dan dengan komitmen bersama, kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih selamat dan bersedia dalam menghadapi cabaran bencana pada masa hadapan, insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Malaysia kini memasuki permulaan fasa peralihan monsun dan dijangka berterusan hingga awal November ini, setelah Monsun Barat Daya yang bermula 17 Mei lepas, berakhir.

Ahmad Zahid berkata pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional juga akan diadakan pada 3 Okt ini di Kota Tinggi, Johor.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan persediaan rakyat dalam menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana banjir dan ribut petir yang semakin kerap berlaku,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan