WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Akta 852 : Langkah Proaktif Lindungi Kesihatan Awam, Alam Sekitar

26/09/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada Selasa ini dijangka mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada kesihatan tetapi juga kelestarian alam sekitar. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata kerajaan komited terhadap usaha mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat melalui penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan awam yang berterusan. 

“Kita tidak dapat beri jaminan secara total, tetapi dengan penguatkuasaan dan literasi (Akta 852) ini kita yakin usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar akan berhasil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pelan Tindakan Kesihatan Alam Sekitar Kebangsaan (NEHAP) kali ke-10 di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata penguatkuasaan Akta 852 itu bukan bersifat menekan masyarakat dengan perundangan yang lebih ketat sebaliknya lebih kepada melindungi kesihatan awam secara keseluruhan. 

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan bahawa Akta 852 akan dikuatkuasakan mulai 1 Okt ini yang merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.

Mengenai persidangan hari ini, Lukanisman berkata NEHAP yang bertemakan Kesihatan Alam Sekitar Dalam Era Baru: Perjalanan Menuju Masa Depan Lestari bertepatan dengan Hari Kesihatan Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 26 Sept setiap tahun. 

Beliau berkata persidangan itu turut menjadi medium bagi pembentangan kertas kerja yang merangkumi bidang kesihatan alam sekitar serta medium bagi peserta untuk berinteraksi dan bertukar pendapat mengenai masalah kesihatan alam sekitar negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan