WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FELCRA Umum RM129 Juta Keuntungan Boleh Agih Interim 2 Tahun Ini

26/09/2024 09:07 PM

KLUANG, 26 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 Tahun 2024 Projek Peserta FELCRA Berhad (FELCRA) berjumlah RM129.81 juta. 

Beliau berkata agihan keuntungan itu akan dibayar secara berperingkat bermula hari ini dan memanfaatkan hampir 68,000 peserta di seluruh negara, melibatkan hampir 600 projek untung.

"Saya mengucapkan syabas kepada FELCRA Berhad atas kejayaan mengekalkan prestasi yang baik iaitu kenaikan hampir RM82 juta atau 168 peratus berbanding prestasi tahun lepas. 

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi FELCRA  (Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub) yang berjaya menggandakan keuntungan hasil kerjasama baik dengan pihak pengurusan tertinggi,” katanya semasa berucap pada program FELCRA MADANI: Santuni Rakyat di Dewan Serbaguna Chamek di sini hari ini.

Justeru, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu percaya bahawa FELCRA akan terus menjadi antara anak syarikat di bawah kementerian pimpinan beliau yang mempunyai keuntungan terbesar sekali gus memberi lebih keuntungan kepada peserta. 

Ahmad Zahid juga berharap dalam tempoh 10 tahun akan datang, semua anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dapat terus memberikan sumbangan untuk menjalankan semua aktiviti serta berdikari tanpa peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Apa yang dilakukan oleh KKDW selama hampir dua tahun ialah kita ambil alih semua pentabiran... kita telah mengadakan tiga permukimam untuk membetulkan semua Lembaga Kemajuan Wilayah dan anak syarikat supaya mempunyai keuntungan. 

“Saya telah nyatakan dalam permukiman ketiga bahawa dalam Lembaga Kemajuan Wilayah dan anak syarikat KKDW, tidak ada sebuah syarikat yang tidak mengalami keuntungan, menjadikan kita sebenarnya boleh berdikari untuk peroleh keuntungan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan