WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PU Azman Dipenjara 24 Tahun, Dua Sebatan Lakukan Amang Seksual Terhadap Remaja lelaki

27/09/2024 03:24 PM

KLANG, 27 Sept (Bernama) -- Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun dengan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lepas.

Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes dihadapi Azman Syah, 43, pada akhir kes pembelaan.

“Selepas mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan dan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara maksimum, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah. OKT (Orang Kena Tuduh) didapati bersalah dan disabitkan dengan kedua-dua pertuduhan,” kata Noridah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan satu sebatan, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta memerintahkan hukuman berkenaan berjalan berasingan bermula hari ini.

Tertuduh juga diperintahkan untuk menjalani sesi kaunseling selama tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun, selepas selesai menjalani hukuman.

Azman Syah didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menolak permohonan peguam Mohamad Zahid Ahmad yang mewakili Azman Syah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi diputuskan.

Semasa rayuan terhadap hukuman, Mohamad Zahid berkata pihaknya memohon hukuman penjara paling minimum dengan mengambil kira tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kesalahan itu adalah kesalahan pertamanya.

“Tertuduh seorang pendakwah yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat, antaranya beliau memberi motivasi dan kelas kuliah al-Quran serta memberi ajaran kepada anak muda khususnya untuk celik kepada al-Quran.

Tertuduh anak bongsu daripada tujuh beradik dan beliau penyumbang utama dalam keluarga serta banyak membantu keluarga yang susah. Sekiranya mahkamah memberi hukuman penjara yang lama, ia akan memberi kesan kepada tertuduh dan keluarga,” kata peguam itu sambil menambah anak guamnya telah bercerai dan tidak mempunyai anak.

Mohamad Zahid berkata Azman Syah juga telah memberikan kerjasama baik kepada polis dan mahkamah sepanjang proses perbicaraan berlangsung.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul ‘Izzati Mohamad, memohon tertuduh dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kesalahan seksual yang dilakukan dan jelas hukuman bagi akta tersebut ialah maksimum 20 tahun penjara.

“Peningkatan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia terutama di Selangor, harus dibendung dengan cara memberi hukuman berat agar dapat memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada masyarakat umum.

“Perbuatan terkutuk ini harus diberhentikan serta-merta. Hukuman berat dapat memberikan mesej jelas dan nyata kepada masyarakat, agar tidak melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, Nurul ‘Izzati memohon agar mahkamah mengambil kira tertuduh pendakwah selebriti dan bekas juara Pencetus Ummah (PU) yang dihormati serta disegani dan hubungan antara tertuduh dengan mangsa bermula apabila tertuduh memberikan motivasi di sekolah termasuk sekolah mangsa.

“Mangsa hormat tertuduh sebagai pendakwah selebriti tetapi tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa. Sebagai orang yang lebih dewasa, tertuduh sepatutnya membimbing mangsa, bukannya memecah kepercayaan yang diberikan oleh guru-guru dan ibu bapa kanak-kanak terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul ‘Izzati berkata pihaknya juga memohon supaya perintah kaunseling dan pengawasan diberikan kepada tertuduh.

Nurul ‘Izzati kemudian mengemukakan pernyataan impak mangsa kepada mahkamah sebelum ia dibacakan oleh jurubahasa.

Pernyataan tersebut antaranya menyatakan mangsa kini trauma berpanjangan dan mengalami kecederaan fizikal serta emosi selepas kejadian ‘hitam’ itu, selain hidupnya sudah berubah selama-lamanya dan sentiasa berada dalam ketakutan ketika berada dalam masyarakat serta keluarga juga malu untuk menyertai aktiviti komuniti setempat.

Azman Syah yang memakai kurta berwarna biru dengan ditemani seorang kakaknya, kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

Turut hadir peguam Norhayati Johar dan Saphirra Selamat dari Jabatan Bantuan Guaman Selangor selaku pendamping guaman bagi mangsa.

Azman Syah turut berdepan sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan