WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Persekutuan Beri Keutamaan Bina Jalan Di Kapit - Anwar

29/09/2024 04:19 PM

KAPIT, 29 Sept (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi keutamaan bagi pembinaan beberapa projek jalan di Bahagian Kapit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata antaranya ialah projek pembinaan jalan menghubungkan Nanga Semaram di Kanowit ke Kapit, sejauh 72 kilometer.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata fasa pertama pembinaan jalan itu dijangka bermula tahun hadapan dan beliau telah meminta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk menyegerakannya.

“Saya minta Alexander (Nanta Linggi) untuk mulakan persiapan (pembinaan) tahun ini, agar kita boleh mula segera.

“Tahun depan kita (sediakan) peruntukan untuk mula fasa satu dan saya percaya selewat-lewatnya akhir tahun depan atau tahun 2026 (pembinaan bakal bermula),” katanya berucap pada majlis ramah mesra pemimpin komuniti masyarakat Kapit di sini, hari ini.

Selain Nanta, program yang diadakan di Dewan Suarah Kapit itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu, mengulas mengenai peranan Sarawak dalam Malaysia, Anwar berkata kejayaan yang dikecapi Bumi Kenyalang kini juga merupakan kejayaan buat negara.

“Sarawak pada 30, 40 tahun yang lepas merupakan antara negeri paling miskin (di Malaysia), tetapi sekarang Sarawak dianggap sebagai negeri berpotensi dan mempunyai kekuatan terutama dalam bidang tenaga.

“Kejayaan Sarawak ini merupakan kejayaan kita semua, kerana apa yang Sarawak capai boleh dinikmati oleh semua,” katanya.

Pada lawatan kerja sehari ke Kapit hari itu, Perdana Menteri turut merasmikan majlis pecah tanah projek baharu pembangunan Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit dan mendengar taklimat mengenai pembinaan jambatan merentasi Sungai Batang Rajang di Nanga Yong.

Selain itu, Anwar turut menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Rumah Panjang Daerah Kapit dan Song di Rumah Robert, Nanga Sebatu, di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan