WILAYAH - UTARA > BERITA

Belanjawan 2025: KPKT Fokus Bantu Anak Muda Miliki Rumah

29/09/2024 05:04 PM

IPOH, 29 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited memberikan tumpuan kepada usaha memastikan golongan muda dapat memiliki rumah menerusi Deposit MADANI.

Deposit MADANI yang menyasarkan belia berumur 21 hingga 40 tahun merupakan antara 33 cadangan KPKT kepada Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2025.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata setakat ini, 76.9 peratus keluarga telah memiliki rumah sendiri dan angka itu menunjukkan satu perkembangan yang baik, namun tumpuan kini adalah kepada golongan muda yang berdepan masalah membeli rumah.

"Memiliki rumah idaman ialah impian setiap rakyat Malaysia...kerajaan sedar khususnya golongan muda, mahasiswa yang baru keluar bekerja termasuk mereka terlibat dalam sektor ekonomi gig, masalah utama yang mereka hadapi ialah (mendapatkan) pinjaman daripada bank kerana kekurangan dokumen sokongan.

"Jumlah maksimum setiap rumah kerajaan boleh bagi RM30,000 (deposit) untuk mereka beli, had rumah boleh dibeli tidak boleh lebih RM500,000," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa Pemuda Sosialis Parti Demokratik Malaysia (DAPSY) Negeri Perak 2024 di sini hari ini.

Nga berharap inisiatif itu diterima Kementerian Kewangan supaya kerajaan dapat meningkatkan lagi kadar pemilikan rumah dalam negara dengan penetapan mekanisme bagi memastikan wang berkenaan hanya digunakan untuk membeli rumah.

Pada 21 Ogos lepas, KPKT mengemukakan 33 cadangan kepada Kementerian Kewangan melibatkan peruntukan bernilai hampir RM1 bilion bagi Belanjawan 2025.

Cadangan itu termasuk pembangunan 100 Taman Rekreasi MADANI, Deposit MADANI, transformasi kolam takungan, perjanjian jual beli elektronik dan e-stamping atau tekan tera elektronik untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan