WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir: Penduduk Reda Kembali Semula Ke PPS

29/09/2024 06:13 PM

POKOK SENA, 29 Sept (Bernama) -- Beberapa penduduk terjejas banjir reda apabila rumah mereka dinaiki air kali kedua dalam tempoh singkat dan terpaksa kembali menghuni pusat pemindahan sementara (PPS).

Seorang mangsa Shamsul Tajuddin, 44, dari Kampung Derang berkata dia baharu sahaja selesai mencuci dan mengemas rumahnya empat hari lepas ekoran banjir yang bermula 18 Sept.

“Selepas banjir itu surut, saya dan isteri cuci rumah tetapi tidak sempat mengatur kedudukan perabot ke tempat asal kerana selalunya saya biarkan beberapa hari dahulu.

“Tak sangka pula hari ini air naik kembali buat kali kedua dalam tempoh seminggu. Belum sempat lagi penat disebabkan banjir hari itu habis, sekarang banjir semula,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau dekat sini hari ini.

Ismail Mahmud, 72, pula berkata dia juga baharu pulang ke rumahnya di Kampung Bukit selepas beberapa hari mendiami PPS, namun hari ini kembali semula ke pusat pemindahan selepas kediamannya dinaiki air.

“Saya baru saja balik ke rumah dan selesai cuci rumah dan perabot, tetapi hari ini kena pindah semula ke PPS kerana air naik lagi di rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Md Zahari Ramli, 56, berkata dia juga terpaksa berpindah ke PPS selepas jalan ke rumahnya dinaiki air sejak semalam.

“Rumah saya hanya dapur yang dinaiki sedikit air, tapi saya tak mahu ambil risiko duduk di rumah kerana isteri juga tidak sihat, patah tulang belakang selepas jatuh tangga lebih sebulan lepas. Kalau ada kecemasan, susah nanti,” katanya.

Mengikut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Kedah yang dipindahkan ke PPS mencecah 765 orang daripada 253 keluarga setakat 4 petang ini, membabitkan dua daerah iaitu Pokok Sena dan Kubang Pasu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan