WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelajar Cemerlang Bawa Barang Dalam Guni Daftar Pengajian Di UMS, Dibantu

29/09/2024 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Kisah seorang pelajar cemerlang yang menggunakan guni untuk mengisi barangannya untuk ke asrama sewaktu pendaftaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini, turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini memaklumkan, beliau telah menghubungi remaja berkenaan Rafida Zaiddin dan telah menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan yang diperlukan pelajar itu untuk meneruskan pengajian.

“Rafida, anak yang cerdik. Berasal dari bumi bertuah, Sandakan. Keputusan peperiksaan beliau di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan. Sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana pada hari yang sama saya turut menghantar anak sulung saya ke universiti.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah Cikgu Rahman dan rakan saya Dr Abdullah Bade, pensyarah UMS yang telah melaporkan keadaan anakanda Rafida Zaiddin,” katanya.

Fadhlina dalam hantaran sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rafida kerana telah memberi kesedaran bahawa perjuangan pendidikan manusiawi adalah kekuatan Malaysia.

Fly high, stand tall Rafida. Insya-Allah Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajiannya. Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian. Semoga Allah SWT memberkati pengajian anakanda Rafida!,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan