WILAYAH - SELATAN > BERITA

Kerajaan Johor Teruskan Tabung Kasih Johor-Palestin

05/10/2024 05:52 PM

BATU PAHAT, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan Johor berhasrat meneruskan pemberian sumbangan kepada rakyat Palestin melalui Tabung Kasih Johor-Palestin yang dilancarkan sejak tahun lepas. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata kutipan bagi tabung itu akan diteruskan sampai bila-bila dan akan dibuat secara berkala bagi membantu rakyat Palestin. 

Beliau berkata Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0 yang telah dilancarkan pada Julai lepas iaitu kesinambungan daripada yang terdahulu, berjaya mencapai sasaran kutipan sebanyak RM2.5 juta.

“Sebanyak RM427,500 daripada kutipan itu diperuntukkan untuk 500 jenis hidangan makanan bermasak yang mampu memberi manfaat kepada 15,000 orang sehari di Kem Pelarian Deir Al Balah, Palestin.

“Selebihnya digunakan untuk 4,000 pek makanan dan 250 khemah berkonsepkan kampung Johor,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Penyembelihan dan Pemprosesan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Medan dan Penyampaian Insentif Keterjaminan Makanan Negeri Johor di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip.

Selain itu, Mohd Fared berkata pihaknya juga akan menghantar bakul dan pek makanan melalui pembungkusan di Mesir yang dijangka penyerahannya dilakukan pada November depan.

“Jadi RM2.5 juta itu adalah termasuk belanja pengurusan, kapal, logistik dan semua butiran pembelanjaan yg saya sebutkan tadi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan