WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TPM Ahmad Zahid Ucap Tahniah Kepada Sze Fei-Nur Izzuddin Juarai Terbuka Artik

13/10/2024 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei - Nur Izzuddin atas kejayaan mereka menjuarai Terbuka Artik 2024 di Vantaa, Finland, malam ini.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Ahmad Zahid berkata kedua-dua pemain itu mempamerkan semangat luar biasa dengan bangkit selepas tewas 15-21 pada set pertama sebelum menang 21-15, 21-19 ke atas  pasangan ranking dua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 

“Perlawanan yang sungguh mendebarkan namun kebangkitan #FeiDin menyuntik semangat juang yang tinggi dan inspirasi buat kita semua. Well done, boys! Saya doakan lebih banyak kejayaan buat anda berdua,” katanya menerusi hantaran itu.

Pada aksi akhir di Energia Areena, Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan prestasi cemerlang untuk merangkul gelaran ketiga mereka tahun ini, sekali gus meranapkan hasrat pasangan Denmark berkenaan untuk mempertahankan kejuaraan mereka dalam kejohanan Super 500 itu.

Kemenangan hari ini membolehkan mereka melengkapkan koleksi gelaran di semua empat peringkat Jelajah Dunia (Super 300, Super 500, Super 750 dan Super 1000), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (RM142,192) manakala pasangan Denmark menerima AS$15,960 (RM 68,396).

Ia juga kejayaan ketiga mereka musim ini selepas muncul juara Terbuka Jepun Ogos lalu dan Terbuka China, bulan lepas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan