WILAYAH - SABAH > BERITA

Sabah Setuju Penyelarasan Gaji Penjawat Awam Negeri Selaras SSPA - Hajiji

16/10/2024 06:56 PM

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan Sabah hari ini bersetuju untuk penyelarasan gaji dua fasa selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi 21,228 penjawat awam negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pelarasan gaji itu akan dilaksanakan pada 1 Dis ini untuk Fasa Pertama, dan 1 Jan 2026 bagi Fasa Kedua, dengan melibatkan peruntukan keseluruhan RM103.02 juta.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyelaraskan kadar gaji pekerja sambilan harian negeri kepada minimum RM1,725 sebulan, serta penambahbaikan faedah sedia ada bermula pada 1 Dis ini,” katanya.

Hajiji berkata pelarasan gaji untuk 2,116 pekerja sambilan harian itu akan melibatkan kos sebanyak RM46.09 juta.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi penyelarasan gaji perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian ialah RM149.11 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata penyelarasan gaji itu adalah manifestasi pengiktirafan kerajaan negeri terhadap sumbangan kakitangan perkhidmatan awam negeri dan pekerja sambilan harian kepada agenda pembangunan negeri.

“Ia juga membantu meringankan kos sara hidup harian yang semakin meningkat,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pada 16 Ogos lepas bahawa SSPA akan menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Dis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan