WILAYAH - UTARA > BERITA

Polis Bunuh Pelajar : Terdapat Kesan Calar, Koyak Dan Geseran Pada Pakaian Mangsa

12/11/2024 07:09 PM

IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Mahkamah tinggi di sini hari ini diberitahu terdapat geseran, calar dan koyakan pada pakaian yang dipakai Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, selepas mangsa dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Ativa pada Disember tahun lepas.

Keterangan itu diberikan saksi ke-10, seorang kanak-kanak yang berada di bahu jalan berhampiran lokasi kejadian iaitu persimpangan Jalan Taman Jati 1/ Jalan Pekeliling Meru Indah, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati ketika insiden itu berlaku.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam tertuduh M. Athimulan, saksi menjelaskan bahawa mangsa ketika kejadian memakai pakaian pendidikan jasmani berwarga hitam dan merah jambu, serta seluar yang turut mengalami kesan terkoyak, geseran dan calar akibat pelanggaran itu.

Prosiding perbicaraan yang memasuki hari keenam hari ini berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Athimulan turut bertanya kepada saksi sama ada mangsa (Muhammad Zaharif) pernah mengubah suai motorsikalnya atau membuat bunyi ‘rem’ sebelum hari kejadian, namun saksi menyatakan dia tidak pasti mengenai perkara itu.

Athimulan: Ada 10 orang telah rem motosikal mereka berdekatan kedai Ratna di mana kedai bapa Zaharif ada juga? 

Saksi: Saya tidak ingat.

Athimulan: Ada kamu nampak sebelum Zaharif letak motosikal di tanda M dari mana dia datang, adakah daripada kedai bapa dia?

Saksi: Saya tidak tahu.

Athimulan: Boleh saya katakan Zaharif bergerak daripada deretan kedai bapa dan rem motosikal?

Saksi: Tidak setuju.

Athimulan: Adakah kamu dengar rem daripada motosikal Zaharif?

Saksi: Ada. 

Kemudian, sebelum saksi kanak-kanak ke-10 mengakhiri keterangannya di mahkamah hari ini, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz telah meminta dia untuk mengenal pasti OKT.

Setelah penghadang telah dibuka, saksi mengesahkan bahawa OKT adalah individu yang melanggar Muhammad Zaharif dalam kejadian tersebut.

Mohd Nazri Abdul Razak, 45, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Dis 2023.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Afzainizam, TPR Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili Athimulan, peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Bhupindar Singh kemudiannya menangguhkan prosiding perbicaraan itu dan bersambung esok pagi dengan saksi yang ke-11.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan