WILAYAH - UTARA > BERITA

Anggota APMM Terima Rasuah Didenda RM25,000

13/11/2024 03:55 PM

ALOR SETAR, 13 Nov (Bernama) -- Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,300, dua tahun lepas.

Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhi hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Muhamad Abdul Hadi Abdullah, 35.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang berpangkat Laskar Kanan Maritim di Ibu Pejabat APMM Kedah dan Perlis, dipenjara lima bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Mengikut kesemua pertuduhan, Muhamad Abdul Hadi telah menerima wang berjumlah RM2,300 dengan tiada balasan daripada pemilik Syarikat LGH Maju Trading Lim Kian Chong dan tertuduh mengetahui dia ada perhubungan kerja-kerja rasmi dengan individu tersebut.

Wang berkenaan diterima melalui lima transaksi daripada akaun Maybank milik orang tengah iaitu seorang wanita yang kemudian dimasukkan ke akaun RHB Bank tertuduh.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di RHB Bank Bhd Cawangan Pulau Langkawi pada 2 Jan, 10 April, 11 Mei, 7 Julai dan 8 Okt 2022.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pedakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Abd Muntaqim Abdul Aziz dan Mohd Syahzada Azad Sanusi  manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan