WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KESUMA Umum Pelantikan Tiga Pengerusi MPM Baharu

13/11/2024 04:16 PM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini mengumumkan pelantikan tiga Pengerusi Mahkamah Perusahaan (MPM) yang baharu iaitu Jeyaseelan T. Anthony, S. Vanithamany dan Arun Kumar S. Kanesin.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata pelantikan untuk tempoh empat tahun itu sekali gus melengkapkan pengisian jawatan pengerusi di MPM. 

Beliau berkata pelantikan Jeyaseelan dan Vanithamany berkuat kuasa pada 17 Okt lepas manakala Arun Kumar pada 18 Nov. 

“Bagi mencapai KPI (petunjuk prestasi utama ) yang ditetapkan, satu daripada inisiatif yang diambil adalah dengan melantik tiga pengerusi yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan perburuhan.

“Diharapkan pelantikan ini dapat mempercepat  masa pengendalian kes dan seterusnya meningkatkan bilangan kes yang diselesaikan di MPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Steven Sim berkata Arun Kumar, 45, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pengerusi termuda dilantik menyandang jawatan itu, rekod sebelum ini dipegang Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pada 2007 ketika berusia 39 tahun.

Beliau berkata ia satu pencapaian signifikan serta menandakan perubahan generasi dalam kepimpinan Mahkamah Perusahaan. 

“Gabungan kepimpinan muda dan mereka yang berpengalaman ini akan terus memperkukuh kecekapan MPM dalam mengendalikan kes perburuhan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.

Tinjauan di laman sesawang rasmi MPM mendapati terdapat 20 pengerusi yang telah dilantik setakat ini, terdiri 12 lelaki dan lapan wanita.

MPM yang ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) adalah sebuah tribunal dan badan tunggal yang berperanan memutuskan kes melibatkan pembuangan kerja, perjanjian kolektif serta pertikaian perusahaan antara majikan, pekerja dan kesatuan sekerja yang berkaitan.

Fokus utama bagi proses reformasi MPM untuk memendekkan tempoh proses pengadilan dan mengurangkan kes tertunggak MPM serta Mahkamah Buruh selain menambah baik fasiliti dan kemudahan di kedua-dua mahkamah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan