WILAYAH - TENGAH > BERITA

MCMC Siasat Pelajar IPTA Dipercayai Jual Video Lucah Babitkan Adegan Diri Sendiri Di Platform X

14/11/2024 03:32 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat aktiviti seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPT) yang dipercayai menjual kandungan melibatkan video lucah yang menampilkan adegan membabitkan dirinya sendiri di platform “X”.

Dalam kenyataan hari ini MCMC memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan pelajar lelaki berkenaan selepas membongkar kegiatan itu hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan berdasarkan aduan awam. 

“Siasatan awal MCMC mendapati kegiatan suspek bermula sejak 2021 dengan beliau memuat naik semula kandungan lucah sedia ada yang dikongsi pengguna lain di aplikasi sama.

“Modus operandi suspek kemudiannya berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali, dan memperoleh sehingga lebih 100,000 pengikut di platform X,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan pelajar berkenaan menjadikan penjualan video lucah sebagai sumber pendapatan, dan hasil pendapatan bulanannya mencecah sehingga RM3,000 dengan anggaran harga sehingga RM150 bagi setiap satu video.

Hasil pemeriksaan di sebuah premis di Shah Alam, MCMC berkata pasukan penguatkuasaan MCMC telah menyita satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai milik suspek yang digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut, bagi membantu siasatan.

“Turut diambil keterangan adalah rakan suspek, seorang wanita yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS),” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata tindakan menjual video lucah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) dan sekiranya disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai digesa melaporkan sebarang kegiatan menyebar dan menjual kandungan lucah di mana-mana platform media sosial kepada MCMC untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan