WILAYAH - SABAH > BERITA

Dewan Sabah: Tiga Syarikat Tempatan Laksana Kajian Kebolehlaksanaan Bangunkan OTEC

18/11/2024 01:26 PM

KOTA KINABALU, 18 Nov (Bernama) -- Majlis Tenaga Sabah meluluskan tiga syarikat tempatan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan sebagai langkah proaktif melibatkan pemain industri tempatan dalam pembangunan teknologi Penukaran Tenaga Termal Laut (OTEC) di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata syarikat tersebut telah diberikan tempoh masa setahun untuk memuktamadkan kajian, dan hasil kajian kebolehlaksanaan itu akan diluluskan semula kepada kerajaan Sabah untuk pertimbangan serta kelulusan.

Lanjutan daripada kelulusan Majlis Tenaga Sabah, Hajiji berkata, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengeluarkan surat lantikan bersyarat kepada tiga syarikat tempatan bagi tujuan pembangunan tenaga lestari.

“ECoS juga telah menerima minat daripada syarikat asing dari Australia dan United Kingdom untuk membangunkan OTEC di Sabah. ECoS sedang mengkaji cadangan tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) yang ingin tahu kemajuan atau perkembangan bidang OTEC sejak kelulusan Enakmen Penukaran Tenaga Haba Lautan 2024 dan sama ada pelabur OTEC bersedia membangunkan teknologi itu di Sabah.

Hajiji berkata kajian kebolehlaksanaan awal juga sedang dijalankan oleh UTM OTEC melalui kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi tujuan pembangunan projek perintis loji OTEC di Sabah.

Katanya ia dijalankan dengan pembiayaan daripada Shell MRE (Program Boleh Baharu Marin) yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata OTEC adalah unsur tenaga boleh baharu yang memanfaatkan perbezaan suhu antara air laut dalam dan permukaan air laut untuk penjanaan tenaga elektrik.

Menurutnya berdasarkan dapatan jururunding, Sabah boleh menghasilkan 20,000 megawatt iaitu 15,000 megawatt di kawasan pantai barat dan 5,000 megawatt di kawasan pantai timur Sabah.

Beliau berkata Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah 2024 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Oktober lepas menjadi platform penting untuk memperkenalkan dan mempromosikan OTEC kepada pelbagai pemain industri di dalam dan luar negara.

Persidangan itu bukan sahaja menarik perhatian pelabur malah menjadi medan pertukaran idea dan teknologi menerusi pelbagai sesi perbincangan yang membantu meningkatkan kesedaran mengenai potensi OTEC dan menggalakkan kerjasama antara kerajaan, institusi penyelidikan serta pemain industri, katanya.

Hajiji berkata Sekretariat Sabah Maju Jaya juga telah menggariskan empat komponen utama penerokaan ekonomi biru iaitu penuaian sumber hidupan laut, pengekstrakan sumber tidak hidup dan penjanaan sumber baharu serta perdagangan dan perniagaan di dalam dan sekitar laut.

Katanya ia turut merangkumi respons terhadap cabaran kesihatan laut mencakupi teknologi dan penyelidikan dan pembangunan, karbon biru, perlindungan dan pemulihan habitat serta pengasimilasian nutrien dan sisa.

Ini selaras dengan garis panduan ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, katanya sambil memaklumkan daripada empat komponen itu, terdapat sekurang-kurangnya 14 industri berpotensi untuk dibangunkan dan diteroka di Sabah.

“Kerajaan negeri yakin bahawa penerokaan ekonomi biru ini akan menjadi pengubah keadaan yang boleh melonjakkan Sabah yang makmur ekonominya seterusnya menjadikan Sabah peneraju utama dalam ekonomi biru berasaskan laut dan sungai di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan