WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pengurus Syarikat Kawalan Keselamatan Didakwa Palsukan Dokumen

19/11/2024 12:01 PM

MELAKA, 19 Nov (Bernama) -- Seorang pengurus syarikat kawalan keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan butir matan palsu bagi tuntutan jam bekerja pengawal keselamatan, lima tahun lepas. 

Zainal Abidin Za'abah, 55, didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Laporan Pengesahan Pelaksanaan Kunci Jam Watchman Clock Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di sekolah/institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan bagi Zon Alor Gajah untuk bulan April hingga Ogos 2019.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Jalan Kolam Air bagi tempoh dua minggu untuk setiap tarikh 1 hingga 15 setiap bulan antara Mei hingga September 2019.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan manakala peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh, memohon jaminan RM5,000 memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama sepanjang siasatan dan tidak berisiko melarikan diri.

Hakim Elesabet Paya Wan menetapkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan iaitu melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM dan menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 3 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan