WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Operasi Maritim Di Laut China Selatan Guna Pendekatan 'Whole-Of-Government'

21/11/2024 04:24 PM

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan operasi maritim di Laut China Selatan dilaksanakan secara pendekatan menyeluruh kerajaan atau 'whole-of-government' bagi memastikan segala strategi dan tindakan bersepadu serta mengoptimumkan sumber dan aset kerajaan sedia ada.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata kerajaan negeri bersama Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN JPM) selaku agensi peneraju keselamatan negara sentiasa proaktif menyelaras pelaksanaan operasi maritim menerusi platform seperti Jawatankuasa Bertindak Operasi Maritim (JBOM) dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN). 

"Di lapangan, agensi keselamatan iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa komited meneruskan operasi strategik di kawasan sensitif di Laut China Selatan dengan mempamerkan kehadiran aset udara dan maritim negara. 

"Pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh pasukan agensi keselamatan negara bertujuan memastikan keselamatan aktiviti-aktiviti ekonomi negara seperti aktiviti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan tersebut sentiasa terpelihara sepanjang masa di samping mempertahankan kedaulatan negara," katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang)  berhubung usaha penyelarasan antara Sabah dan pihak berkuasa Persekutuan seperti APMM dan TLDM untuk menjaga sempadan maritim Sabah.

Abidin berkata beberapa kolaborasi kerjasama agensi negeri dan Persekutuan menerusi operasi bersepadu yang juga melibatkan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Jabatan Perikanan Sabah, Jabatan Laut Malaysia serta Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah turut dilaksanakan dan diperkukuh setiap tahun.

"Selain itu, Kementerian Luar Negeri juga dengan kerjasama kerajaan negeri aktif dalam mengemukakan bantahan kepada mana-mana negara yang didapati menceroboh kawasan perairan Malaysia.

"Ancaman di perairan Laut China Selatan adalah isu yang kompleks dan sensitif. Ia perlu dikendalikan dan diselaraskan dengan hubungan diplomatik antarabangsa secara aman dan rasional bagi mengelakkan berlakunya ketegangan di lapangan, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982," katanya.

Beliau menambah kepentingan negara dari aspek keselamatan dan kedaulatan akan terus dijadikan sebagai asas utama dalam sebarang tindakan yang diambil terhadap isu ancaman di Laut China Selatan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan