PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan berjaya menjimatkan hampir RM1 juta membabitkan kos penerbangan bagi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi rasmi baru-baru ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Bercakap pada sidang media mingguan di sini hari ini, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta menerusi sewaan pesawat khas iaitu Airbus A350 Malaysia Airlines berbanding kos penggunaan pesawat rasmi kerajaan iaitu RM2.5 juta.
“Kos ini telah dibiayai oleh kerajaan Malaysia untuk delegasi rasmi iaitu RM1.662 juta bersamaan 27 peratus daripada kos keseluruhan.
“Pihak kerajaan dapati ada penjimatan (sewaan pesawat khas) jika dibandingkan dengan penggunaan pesawat sedia ada,” katanya.
Fahmi turut menegaskan lawatan rasmi Perdana Menteri serta delegasi rasmi itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa melibatkan pembiayaan daripada syarikat swasta yang turut mengikuti lawatan tersebut.
“Penting saya jelaskan di sini, kerajaan membayar untuk penerbangan Perdana Menteri. Perdana Menteri tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat, tetapi ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Bagi kos perbelanjaan lain seperti makanan dan pengangkutan darat semasa lawatan rasmi itu, Fahmi berkata kebiasaannya ia turut dibiayai oleh penganjur bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) serta Sidang Kemuncak G20.
“Tidak timbul isu kos-kos ini ditanggung oleh pihak swasta,” katanya.
Untuk rekod, delegasi negara turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua timbalan menteri, yang bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi, perdagangan serta diplomatik Malaysia khususnya dengan Mesir, Peru dan Brazil.
Mengenai penyertaan delegasi perniagaan dalam lawatan rasmi yang bermula pada 9 hingga 19 Nov itu, Fahmi berkata semua perbelanjaan ditanggung sendiri oleh syarikat terlibat yang mencerminkan minat kukuh mereka terhadap peluang perdagangan dan pelaburan di negara dan rantau yang dilawati.
“Delegasi perniagaan membayar 73 peratus daripada jumlah tersebut atau RM4.5 juta. Mereka (syarikat) bayar tiket sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial