WILAYAH - SELATAN > BERITA

Enstek, Nilai Berpotensi Dibangunkan Pusat Logistik Negara - Loke

23/11/2024 02:00 PM

NILAI, 23 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan mencadangkan kerajaan Negeri Sembilan  menyediakan satu kawasan khusus di Nilai atau Enstek bagi pembinaan pusat logistik baharu di negara ini.

Menteri berkenaan Anthony Loke berkata kawasan itu berpotensi memacu ekonomi dalam bidang logistik kerana terletak berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan mempunyai sistem jaringan lebuh raya strategik menghubungkan ke utara, selatan, timur dan barat Semenanjung.

“Memang ada perbincangan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun semalam, saya mencadangkan kawasan Enstek dan Nilai disediakan satu tapak.

"Biasanya di sini ialah tapak perindustrian pelbagai jenis industri tetapi tiada yang khusus kepada logistik, saya cadangkan disediakan satu tapak tanah oleh kerajaan negeri atau agensi untuk dibangunkan sebagai satu pusat logistik negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Loke menyempurnakan majlis pecah tanah Pusat Pengedaran Halal Serantau Pintar (Smart RHDC) GOLOG yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif GOLOG Ivan Chin di Enstek di sini hari ini.

Loke berkata pembangunan pusat logistik itu mampu menarik lebih banyak syarikat logistik berpangkalan dan beroperasi di Negeri Sembilan memandangkan kebanyakan syarikat itu kini berada di Shah Alam dan Klang (Selangor) yang sesak selain tiada kelebihan berdekatan KLIA.

"Saya yakin jika kerajaan negeri dapat menyediakan tanah untuk dibangunkan pusat logistik negara ia sudah tentu dapat menarik banyak pelaburan dalam bidang ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil lawatan kerja ke negara seperti China dan Hong Kong, didapati mereka mengetahui produk halal mempunyai potensi besar di pasaran dunia dan pensijilan produk halal dari negara juga diperakui amat komprehensif.

"China dan Hong Kong walaupun majoriti bukan Muslim tapi mereka tahu bahawa produk halal ini penting kalau mahu menjadi bandar raya antarabangsa, mereka banyak pelancong dari timur tengah yang perlukan produk halal. 

"Mereka baru sedar halal itu bukan sahaja makanan tetapi produk lain seperti farmaseutikal, kosmetik juga perlukan pensijilan halal jika mahu menembusi pasaran lebih luas," katanya.

Sementara itu, Loke berkata GOLOG menawarkan perkhidmatan logistik produk halal sistematik untuk dieksport ke luar negara.

Beliau percaya fasiliti seperti itu akan dapat mengumpulkan pelbagai jenis produk dan barangan di sini sebelum dibawa ke KLIA untuk dieksport dan diimport. 

Ivan berkata kos pembangunan Smart RHDC berjumlah RM400 juta dengan tempoh pembinaan kompleks selama 18 bulan.

Beliau berkata kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberikan akses yang lebih besar kepada pemilik perniagaan dan peladang sekali gus membolehkan mereka mencapai pasaran lebih luas di dalam negara.

Jelasnya, Smart RHDC menjadi hab penting bagi eksport makanan halal global dan akan berfungsi sebagai kemudahan penyimpanan komprehensif untuk bahan mentah, produk separuh siap dan produk akhir makanan halal.

Smart RHDC katanya akan menjadi gudang sejuk automatik kecerdasan buatan (AI) pertama di negara ini dengan kapasiti luar biasa 84,000 palet dan 60 ruang pemuatan serta dilengkapi lebih 30 kenderaan pandu automatik (AGV) dan dikuasakan oleh Sistem Pengendalian Pintar GOLOG (GAIA OS) yang inovatif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan