WILAYAH - UTARA > BERITA

Tiada Bukti Pencemaran Pantai Esen Disebabkan Penambakan

23/11/2024 06:04 PM

GEORGE TOWN, 23 Nov(Bernama) -- Masih tiada bukti menunjukkan bahawa punca pencemaran di Pantai Esen, Permatang Damar Laut di Batu Maung  dekat sini disebabkan kerja-kerja penambakan Pulau Silikon, kata Pengerusi Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan termasuk ujian makmal sampel yang diambil di kawasan berkenaan oleh agensi berkaitan. 

"Saya boleh mengesahkan bahawa kerja-kerja penambakan mematuhi garis panduan Jabatan Alam Sekitar(JAS)  termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang telah diluluskan.

"Langkah-langkah yang ketat juga diambil seperti penggunaan langsir kelodak dua lapis dan kita perlu faham bahawa kawasan itu sememangnya kawasan lumpur semula jadi, oleh itu kejadian baru-baru atas faktor peningkatan alga atau ‘algae bloom’," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata seperti yang semua maklum, alga bukan sesuatu yang terhasil daripada kerja-kerja penambakan.

Pihaknya juga masih menunggu keputusan akhir ujian makmal yang akan disahkan oleh agensi teknikal terlibat dan beliau mohon semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu berkenaan.

"Pokok soalan yang lebih penting adalah bagaimana peningkatan alga boleh terjadi? Antara kemungkinan yang dikenal pasti ialah terdapat efluen dari hulu sungai berhampiran yang mengalir ke laut.

"Di kawasan sekitar juga terdapat beberapa aktiviti pertanian dan juga sebuah loji rawatan kumbahan, pada masa yang sama, hasil tinjauan mendapati tiada alga yang terlekat atau membiak dalam kawasan langsir kelodak dan ini menunjukkan bahawa sumbernya bukan dari tapak projek tambakan Pulau Silikon," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan