WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala Malaysia: Selangor Ikat Sri Pahang, Terengganu Tundukkan Melaka

24/11/2024 12:47 AM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Sri Pahang FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila terikat 1-1 ketika bertemu Selangor FC pada aksi pertama pusingan awal Piala Malaysia 2024/2025 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang malam ini. 

Kedua-dua pasukan dilihat berusaha keras mengatur gerakan seawal babak pertama untuk menghasilkan gol pendahuluan namun rentak permainan masing-masing terganggu berikutan keadaan padang yang becak susulan hujan menjelang sepak mula.

Pada minit ke-27, skuad Tok Gajah berjaya mencipta gol pertama menerusi tandukan deras Sean Eugene Selvaraj ke gawang Selangor selepas kemas menyambut tandukan pemain lawan, Harith Haiqal Adam yang cuba mengeluarkan bola.

Babak kedua perlawanan, Sri Pahang tampil lebih agresif untuk menambah jaringan tetapi barisan pertahanan Selangor tenang mengekang asakan  itu.

Skuad Gergasi Merah sebaliknya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-83 menerusi Nikola Jambor yang meledak gol membuatkan penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan terpaku sebelum keputusan kekal hingga wisel penamat. 

Aksi timbal balik kedua-dua pasukan akan berlangsung pada 1 Dis ini.

Sementara itu, Terengganu FC mencatatkan kemenangan bergaya ke atas tuan rumah Melaka FC, 4-1 pada aksi berlangsung di Stadium Hang Jebat, Krubong.

Terengganu merobek gawang Melaka seawal minit kelapan menerusi Muhammad Safawi Rasid sebelum Muhammad Akhyar Abdul Rashid melebarkan kedudukan selang tujuh minit kemudian.

Bersambung babak kedua, Akhyar menambah jaringan buat Terengganu pada minit ke-54 selepas tandukannya menerjah gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol Melaka Ameerul Eqhwan Fauzi.

Melaka membuat serangan balas dan berjaya memperoleh jaringan sulung pada minit ke-55 menerusi Fuseini Issah yang menyudahkan umpanan Fikri Shah.

Bagaimanapun, Terengganu menambah derita tuan rumah sekali gus memastikan mereka pulang membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik menerusi jaringan minit ke-90 oleh Muhammad Alif Zakaria.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan