BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sistem Imigresen Bersepadu Nasional Dijangka Siap Pada 2028 - KP Imigresen

24/11/2024 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka siap sepenuhnya pada 2028, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.

Beliau berkata fasa pertama sistem berkenaan dijangka siap pada 2026, sekali gus memberi nafas baharu kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan Imigresen secara keseluruhannya.

“Sistem NIISe ini kita akan rangkumkan semua perkhidmatan Imigresen di bawah satu sistem dan melalui penggunaan AI, ia akan lebih memberi kecekapan dalam perkhidmatan Imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas menjadi tetamu forum bertajuk ‘Penambahbaikan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Zakaria berkata sistem berkenaan akan diintegrasikan dengan data daripada agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara atau Polis Diraja Malaysia.

“Kita akan lebih cekap dari segi pengurusan warga asing, pelawat, pintu masuk dan perkhidmatan lain secara amnya,” katanya.

Terdahulu bercakap dalam forum berkenaan Zakaria berkata kira-kira 90 peratus perkhidmatan Jabatan Imigresen kini dilaksanakan secara dalam talian dan digital, antaranya pelaksanaan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), permohonan bagi pembaharuan pasport dan permohonan visa.

Beliau berkata ePLKS bagi pekerja asing dikeluarkan secara dalam talian, kemudian individu berkenaan boleh mencetak pas itu sendiri tanpa perlu ke pejabat imigresen bagi memudahkan urusan. 

"Selain itu, langkah pembaharuan di pintu-pintu masuk negara, kita ke arah penggunaan autogate, sekarang kita dah buka untuk penggunaan pelawat dari 63 negara.

"Sekarang untuk masuk ke dalam negara tak perlu ke kaunter-kaunter yang ada petugas imigresen, mereka boleh terus melalui autogate dan selesai. Yang terbaharu, (pemeriksaan imigresen) menggunakan kod QR MyTRIP yang dalam peringkat proof of concept di pintu masuk bagi mengelak kesesakan," katanya. 

Beliau berkata pada setakat Oktober ini, Malaysia menerima lebih 30 juta pelawat asing dan pihaknya menjangkakan jumlah itu boleh mencecah 33 juta pada penghujung tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan