WILAYAH - UTARA > BERITA

"Catch 'em Young" IJN Beri Pendedahan Kepada Pelajar Peluang Kerjaya Dalam Bidang Kesihatan

24/11/2024 06:20 PM

KANGAR, 24 Nov (Bernama) -- Program "Catch 'em Young" dilaksanakan Institut Jantung Negara (IJN) menerusi inisiatif Santuni MADANI memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai peluang kerjaya dalam bidang kesihatan, sekali gus memupuk minat mereka untuk menceburi bidang itu.

IJN dalam kenyataan media hari ini memberitahu menerusi program yang merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu antara lain memberikan gambaran realistik mengenai cabaran dan peluang dalam profesion kesihatan daripada perkongsian pengalaman doktor dan jururawat IJN semasa sesi ceramah kerjaya.

"Melalui program "Catch 'em Young" ini juga, IJN melaksanakan projek naik taraf bilik rawatan sekolah yang bertujuan menyediakan persekitaran lebih profesional dan kondusif, menyerupai suasana hospital bagi memudahkan pelajar dan kakitangan sekolah dalam mendapatkan rawatan asas," kata kenyataan itu.

Kenyataan media itu sempena Program Santuni MADANI dan Program "Catch 'em Young" di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma di sini hari ini serta sesi penyerahan bilik rawatan di sekolah menengah berkenaan yang telah diubah suai IJN.

Sesi penyerahan bilik rawatan berwajah baharu itu daripada pihak IJN kepada pihak sekolah disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut berkenan meninjau proses saringan kesihatan disediakan IJN pada program itu hari ini.

Antara yang turut hadir ialah Pengerusi IJN Holdings Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Prof Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib.

Mengikut kenyataan itu, projek mengubah suai bilik rawatan di SMK Derma bermula 15 Nov lepas melibatkan 16 kakitangan IJN bagi memastikan setiap aspek naik taraf itu memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan oleh IJN.

"Selain SMK Derma, SMK Perlis juga terpilih sebagai sekolah penerima projek ini. Sebelum ini, SMK Sultan Ahmad Shah di Cameron Highlands (Pahang) serta Sekolah Kerbangsaan Keruak di Jerteh, Terengganu dengan IJN menyerahkan bilik rawatan yang dinaik taraf pada bulan Julai dan awal November lepas.

"Sesi penyerahan bilik rawatan yang telah dinaik taraf di SMK Perlis akan berlangsung esok berserta sesi ceramah kerjaya di sekolah menengah ini yang akan turut melibatkan penyertaan pelajar tingkatan 4 dan 5 dari SMK Derma," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu seterusnya menjelaskan bagi proses penilaian pemilihan sekolah, antara kriterianya ialah sekolah yang terpilih perlu mempunyai Kelab Doktor Muda untuk mendidik dan mencungkil minat ahli-ahli Kelab Doktor Muda sebagai usaha meningkatkan profesion pakar perubatan masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan