WILAYAH - SARAWAK > BERITA

'Saringan Minda Sihat' Kenal Pasti Murid Hadapi Gangguan Emosi

26/11/2024 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Saringan Minda Sihat sebagai mekanisme pengesanan awal mengenal pasti murid yang menghadapi masalah gangguan emosi, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan sekali setahun kepada semua murid tahun lima hingga tingkatan enam, manakala murid yang dikenal pasti mempunyai masalah gangguan emosi teruk dan sangat teruk akan dilaksanakan Saringan Minda Sihat dua kali setahun.

Pada masa yang sama, katanya murid yang menunjukkan tanda awal kemurungan pula diberikan bantuan segera melalui intervensi berfokus menggunakan Modul Minda Sihat, Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) dan Modul Kesihatan Mental Remaja.

 “Modul-modul ini menerapkan kemahiran menangani stres, kemahiran menyelesaikan masalah dan menguruskan emosi dengan baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak).

Dr Wan Azizah bertanyakan tentang langkah yang diambil kementerian susulan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang merekodkan 12.3 peratus remaja berumur 15 hingga 17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami, masalah kesihatan mental dan cenderung membunuh diri.

Menurut Wong, KPM menyediakan akses bahan psikopendidikan yang disebarluaskan melalui infografik, video pendek, laman minda sihat, panduan kesejahteraan diri di pelbagai platform media sosial.

Bagi murid yang dikenal pasti mempunyai tahap kemurungan yang teruk dan sangat teruk, pihak sekolah akan mengadakan sesi konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga murid sebelum anak mereka dirujuk kepada pakar perubatan di klinik kesihatan atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

Melalui sesi konsultasi tersebut,  Wong berkata ibu bapa atau penjaga turut didedahkan kepada pelbagai aktiviti teknik relaksasi dan mindfulness yang boleh digunakan bagi menyokong kesejahteraan minda anak-anak.

KPM juga bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan bagi penyediaan garis panduan sistem rujukan murid dengan masalah kesihatan mental dan pelaksanaan Health Promotion in Learning Institutions (HePiLI).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan