WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Kewangan, BNM Kaji Pelanjutan Skim mySalam - Amir Hamzah

26/11/2024 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti untuk melanjutkan pelaksanaan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata skim mySalam yang pada asalnya dirancang untuk beroperasi bagi tempoh lima tahun bermula 2019 hingga 2023, dilanjutkan bagi tempoh dua tahun sehingga 2025 di bawah Belanjawan 2024.

"Selanjutnya, Kementerian Kewangan dan BNM sedang mengkaji pelanjutan skim mySalam untuk tambahan dua tahun lagi sementara merangka skim baharu yang dapat menyediakan insurans dan takaful mampu diperoleh golongan B40 untuk tempoh jangka panjang.

"Sehubungan itu, dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah menyediakan RM60 juta bagi penyediaan baucar untuk membiayai sebahagian kos produk Perlindungan Tenang untuk golongan B40," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai rancangan jangka panjang untuk skim mySalam agar skim ini terus dinikmati oleh golongan B40 serta kebajikan kakitangannya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata elaun petugas mySalam dilantik secara kontrak oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB) telah dinaikkan kepada RM110 sehari bermula 1 November lepas. 

Beliau berkata sekiranya petugas berhasrat menamatkan kontrak tugasan mereka, industri takaful turut menyediakan peluang keusahawanan bagi petugas tersebut untuk menjadi ejen atau perunding takaful.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan