WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Aplikasi TikTok Jadi 'Medan' Promosi Skim Pelaburan Palsu - Polis

26/11/2024 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Polis mendedahkan aplikasi TikTok kini semakin menjadi pilihan sindiket penipuan untuk mencari mangsa dengan mempromosi skim pelaburan palsu, susulan aplikasi itu semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sejak 2021 hingga Oktober lepas, kes penipuan pelaburan melalui TikTok mencatatkan kenaikan lebih 90 peratus dengan 131 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas berbanding 59 kes pada 2023, 2022 (27 kes) dan 2021 (13 kes).

“Dari aspek kerugian pula, jumlah yang direkodkan terus meningkat daripada hanya RM400,000 dicatatkan pada 2021 kepada RM1.28 juta pada 2022 dan RM7.25 juta pada 2023. 

“Pada tahun ini setakat Oktober lepas, jumlah kerugian yang direkodkan telah mencecah RM6.39 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 131 kes itu, sebanyak 66 mangsa adalah wanita manakala bakinya lelaki dengan 23 peratus berusia 31 hingga 40 tahun, diikuti 21 hingga 30 tahun (21.4 peratus), dan 41 hingga 50 tahun (17.5 peratus).

“Bagi kategori kumpulan pekerjaan, pekerja swasta mencatat individu paling ramai menjadi mangsa dengan 54.2 peratus, tidak bekerja (16.8 peratus), pesara (9.9 peratus), penjawat awam (7.6 peratus), peniaga (6.9 peratus) dan pelajar (4.6 peratus),” katanya.

Ramli berkata perkembangan pesat penggunaan media sosial di Malaysia jelas mengundang peningkatan dalam kes penipuan.

"Berdasarkan laman web meltwater.com, setakat Januari lepas, pengguna media sosial mencecah sebanyak 28.68 juta orang dan jumlah ini bersamaan 83.1 peratus daripada populasi keseluruhan rakyat Malaysia iaitu 34.5 juta orang. 

“Angka ini menjelaskan mengapa media sosial merupakan platform yang menjadi pilihan kepada sindiket untuk mencari mangsa. Selain capaian terhadap pengguna yang ramai, media sosial juga mampu memberikan kelebihan kepada penjenayah untuk menyembunyikan identiti mereka.

“Kecanggihan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), membolehkan sindiket mencipta iklan palsu menggunakan gambar dan video individu terkenal untuk mengaburi mangsa,” katanya.  

Beliau berkata walaupun sudah kerap kali pihaknya menyuarakan amaran bahawa segala skim pelaburan yang diiklankan menerusi media sosial adalah penipuan, masih ramai pengguna terus terpedaya.

Sehubungan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang iklan pelaburan melalui media sosial tanpa pengesahan sahih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan