WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Usaha Hasilkan Kenderaan Elektrik, Isu GISBH Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

27/11/2024 08:35 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Langkah kerajaan menggalakkan pemain industri tempatan untuk mempertingkatkan usaha mengeluarkan kenderaan elektrik bagi memenuhi permintaan tempatan antara yang dibincangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bertanyakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung perkara itu dalam sesi soal jawab lisan sebaik sidang Dewan Rakyat bermula 10 pagi.

Turut menarik perhatian, soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) kepada Perdana Menteri berhubung usaha memulihkan akidah pemimpin dan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Azli juga ingin tahu mengenai tindakan diambil kerajaan untuk membela kebajikan keluarga dan memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak yang ditinggalkan GISBH berikutan operasi Op Global.

Pada sesi sama, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) bertanyakan Perdana Menteri berhubung usaha dan inisiatif bagi mengatasi masalah jenayah penipuan dalam talian yang telah menyebabkan kerugian lebih RM2.6 bilion dalam tempoh kurang tiga tahun selain tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Selain itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) bertanya kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sama ada kementerian itu mempunyai rancangan untuk menaikkan siling bagi pendapatan isi rumah pemohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian terlibat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan