BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

USS Abraham Lincoln: Wanita Muda Perkasa Keupayaan Diri, Tempa Pengalaman Global 

27/11/2024 02:40 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bagi Anisa Fresquio, 33, Damage Control First Class kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz USS Abraham Lincoln (CVN 72), tugasnya bukan sekadar kerjaya.

Ia menjadi platform untuk pertumbuhan peribadi, penjelajahan dunia dan memperkasakan wanita dalam bidang yang secara tradisinya didominasi lelaki. 

Berpangkalan di Tucson, Arizona, Fresquio menjadi simbol ketabahan dan keazaman. 

Fresquio merupakan seorang daripada kira-kira 4,200 anggota Tentera Laut dan Marin yang bertugas di USS Abraham Lincoln, kapal yang mencatat sejarah kembali ke Malaysia buat kali pertama dalam 12 tahun dan berlabuh di Pelabuhan Klang pada 23 Nov lalu. 

Fresquio memberitahu Bernama bahawa peranannya sebagai duty fire marshal dan engineering duty officer adalah penting dalam menangani insiden kebakaran dan banjir, sekali gus menunjukkan kepakaran beliau dalam pengurusan krisis dan kepimpinan.

“Saya lulus dari sekolah kawalan kerosakan, di mana kami dilatih secara intensif dalam pemadaman kebakaran. Ia tugas yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental. 

“Saya suka adrenalin yang datang dengan tugas ini. Ia adalah peranan dinamik yang membuatkan saya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kecemasan,” katanya semasa ditemu bual di atas kapal ketika persinggahan di Malaysia. 

Menyertai Tentera Laut selama 11 tahun, perjalanan Fresquio bermula apabila minatnya terhadap pemadam kebakaran dan lautan, gabungan yang mendorongnya memilih kerjaya yang penuh pengembaraan dan tujuan. 

“Tentera Laut memberi peluang kepada saya untuk melihat dunia sambil melakukan apa yang saya gemari. Saya berpeluang mengunjungi tempat-tempat yang tidak pernah saya bayangkan, seperti Batu Caves di Malaysia -- ia sungguh menakjubkan. 

“Pengembaraan, pendedahan kepada budaya baharu dan pengalaman dunia sebenar menjadikannya sangat berbaloi,” katanya sambil mengimbau pengalaman pertamanya di negara ini. 

Beliau turut teruja meneroka Kuala Lumpur, termasuk Menara KL yang ikonik dan Chinatown yang meriah, sambil mencuba pelbagai juadah tempatan.

Fresquio berkata, selain kerjaya di laut, USS Abraham Lincoln menjadi lembaran penting dalam hidup yang mendidiknya menjadi seorang pemimpin yang berkebolehan. 

“Di tempat kerja sebelum ini, saya adalah pelaut junior. Tetapi di sini, saya mendapat bimbingan luar biasa yang membantu saya berkembang. Kapal ini memainkan peranan penting dalam pembangunan profesional saya dan saya sangat berterima kasih untuk itu,” katanya. 

Walaupun berjauhan dengan keluarga di Arizona, Fresquio tetap fokus terhadap misinya. 

“Memperkasakan wanita dalam tentera bermakna bahawa kami boleh menghadapi cabaran sama seperti orang lain.

“Saya harap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk mengikuti jalan ini dan mengekalkan kerjaya yang memuaskan,” katanya. 

Seperti kisah Fresquio, Quartermaster Seaman (QMSN) Kasper Helmsman, 20, dari bahagian navigasi kapal turut berkongsi perspektifnya tentang penekanan Tentera Laut terhadap pengalaman praktikal, yang memberikan kemahiran dunia sebenar yang tidak ternilai kepada anak muda Amerika. 

Pada usia 20 tahun, Helmsman membuktikan bahawa umur bukan penghalang untuk memikul tanggungjawab dan kepemimpinan di USS Abraham Lincoln. 

“Mendapatkan pensijilan Quartermaster of the Watch (QML) mengambil masa sembilan bulan. Ia bukan sesuatu yang diperoleh begitu sahaja. 

“Anda perlu meluangkan masa dan mendapatkan kepercayaan daripada pasukan, tetapi sepanjang perjalanan, anda dibimbing oleh pemimpin berpengalaman yang memastikan anda bersedia untuk memikul peranan itu. 

“Bimbingan yang saya terima sangat bernilai. Ia mengajar saya untuk mengambil inisiatif, mempercayai kebolehan sendiri dan menghargai sokongan pasukan,” katanya. 

Pegawai Hal Ehwal Awam, Lt. Komander Karl Schonberg menjelaskan bahawa pelaut muda seperti Kasper diberi kepercayaan untuk mengemudi kapal besar ini secara manual, tetapi hanya selepas melengkapkan Latihan intensif di bawah bimbingan mentor berpengalaman. 

“Setiap peranan di kapal ini berfungsi seperti itu -- sentiasa ada seseorang yang mengajar, membimbing, dan memastikan anda bersedia. Akhirnya, anda memperoleh kepercayaan untuk berdikari dan layak memikul tanggungjawab utama,” katanya. 

Schonberg turut memaklumkan bahawa sebagai sebahagian daripada pasukan navigasi, tugas Helmsman memerlukan kemahiran tinggi untuk mengemudi kapal secara manual, yang menuntut ketepatan luar biasa dan kepercayaan langsung daripada kapten. 

USS Abraham Lincoln tiba di Malaysia untuk persinggahan pelabuhan kedua dalam penugasannya tahun 2024. 

Semasa berada di Malaysia, kru Abraham Lincoln berpeluang melawat kawasan sekitar menerusi lawatan serta menjalankan projek hubungan komuniti (COMREL), termasuk menjadi sukarelawan di dapur amal, rumah warga emas dan rumah kanak-kanak. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan