BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 WILAYAH - SELATAN > BERITA

Penjawat Awam Negeri Digalakkan Pakai Kain Benang Johor Setiap Jumaat Tahun Depan

27/11/2024 06:05 PM

ISKANDAR PUTERI, 27 Nov (Bernama) -- Penjawat awam Johor digalakkan memakai baju kurung dan baju Melayu teluk belanga bersama Kain Benang Johor sebagai baju kerja pada setiap Jumaat bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar berkata langkah itu bertujuan mempromosikan Kain Benang Johor yang merupakan hasil kraf negeri kepada pelancong tempatan dan luar negara.

“Pemakaian oleh pegawai kerajaan merupakan satu strategi promosi untuk memperkenalkan produk Kain Benang Johor. Produk kraf tangan berkenaan kini semakin dikenali dan diminati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) mengenai langkah kerajaan dalam mempromosikan hasil kraf tangan Johor agar menjadi daya tarikan pelancongan negeri, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Raven Kumar berkata selain itu, kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) akan menawarkan bidang tenunan dalam program pendidikan Perintis Seni Johor bermula tahun depan sebagai usaha mencari bakat dan tenaga mahir dalam bidang itu.

Program itu katanya, bakal dilaksanakan selama tiga bulan atau 12 minggu berdasarkan modul disediakan jabatan dalam bentuk latihan asas kepada pengenalan dan penghasilan produk tenunan berkaitan Kain Benang Johor.

“Sebagai permulaan, program ini menyasarkan 20 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang berminat dalam bidang kraf tangan. Melalui inisiatif ini, kita dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Johor dan meningkatkan penghasilan produk kraf negeri bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026.

“YWJ tidak hanya tumpu kepada latihan jangka masa pendek ini, tetapi juga dikembangkan lagi dengan program pengembangan kerjaya melalui kolaborasi bersama Institut Kraf Negara untuk melahirkan tenaga kerja pakar dalam bidang tenunan selain melahirkan adiguru kraf pada masa depan,” katanya.

Raven Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh berkata sejak 2018 hingga Oktober tahun ini, sebanyak 873 helai Kain Benang Johor telah dihasilkan di Galeri Tenun Johor yang terletak di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

“Galeri Tenun Johor kelolaan YWJ mempamerkan dan menghasilkan produk Kain Benang Johor, iaitu satu daripada produk kraf tangan beridentitikan Johor. Terdapat lapan penenun menghasilkan produk Kain Benang Johor di galeri yang dirasmikan pada 2018. Galeri ini telah menerima 14,660 pengunjung setakat bulan lepas,” katanya.

Menurut beliau, bersempena dengan Tahun Melawat Johor, YWJ merancang untuk mengadakan peragaan fesyen bagi produk Kain Benang Johor menerusi kerjasama dengan pereka fesyen terkenal.

“Peragaan ini tidak hanya terhad pada pemakaian, tetapi juga ia akan dihasilkan dalam pelbagai produk, seperti pemakaian samping, baju tradisonal Johor, aksesori wanita dan lelaki, kusyen serta perabot,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan