BERITA TERGEMPAR   Malaysia conveys deepest appreciation, welcomes flood aid from Pakistan in honour of friendship between both countries - PM Anwar | 
 WILAYAH - SELATAN > BERITA

Johor Tambah 70 Hektar Tanaman Padi Di Kluang Dan Muar - Exco

27/11/2024 05:27 PM

ISKANDAR PUTERI, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor akan menambah keluasan kawasan tanaman padi sebanyak 70 hektar melibatkan daerah Kluang dan Muar bagi meningkatkan pengeluaran tanaman itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata dengan penambahan itu keluasan semasa pasel aktif sawah di Johor ialah 1,920 hektar berbanding 1,850 hektar sebelum ini.

“Jabatan Pertanian akan membuka kawasan tanaman padi baharu seluas 20 hektar di Sawah Kahang, Kluang dengan peruntukan RM613,000 dan penanaman padi di kawasan ini akan dimulakan awal tahun depan.

“Seluas 50 hektar pula di Sungai Balang, Muar. Kerja pembersihan dan pembangunan infrastruktur akan dimulakan sebaik sahaja urusan permohonan tanah tersebut diluluskan Pejabat Tanah Daerah Muar serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nazri Abdul Rahman (PH-Simpang Jeram) mengenai langkah kerajaan memperluaskan kawasan tanaman padi negara pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata walaupun Johor merupakan pengeluar padi di kawasan luar jelapang, ia tetap menjadi fokus kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan produktivitinya dari semasa ke semasa.

“Keluasan dan pengeluaran tanaman padi di Johor adalah kecil dengan luas skim sebanyak 2,254.39 hektar atau hanya 0.8 peratus berbanding pasel padi negara seluas 280,208 hektar. Johor mempunyai 10 kawasan tanaman padi luar jelapang melibatkan lebih 900 pesawah,” katanya.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan DUN Khamis lepas mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pembangunan industri padi di negeri ini merangkumi kerja-kerja perluasan kawasan baharu. 

Sementara itu, Zahari berkata kerajaan negeri sedang menunggu proses kelulusan daripada kerajaan Persekutuan berhubung cadangan penubuhan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) Wilayah Selatan melibatkan penggabungan pengurusan sawah di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Pada 4 Nov lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata kementeriannya sedang mempertimbangkan penubuhan IADA tersebut untuk membantu pesawah di ketiga-ketiga negeri berkenaan.

Mohamad dipetik berkata menerusi penubuhan itu pengurusan air dan penanaman padi di tiga negeri tersebut akan lebih terurus.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan