WILAYAH - TIMUR > BERITA

Bayaran BKK Satu Bulan Setengah Gaji Untuk Penjawat Awam Pahang 

29/11/2024 01:03 PM

KUANTAN, 29 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam negeri yang akan dikreditkan pada tahun hadapan. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2025 dengan tema ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ berkata bayaran berkenaan melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM33.3 juta. 

“Sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik dan meningkatkan pencapaian di masa hadapan, saya mengumumkan suatu bantuan khas kewangan kepada anggota perkhidmatan awam Kerajaan Negeri Pahang. 

“Untuk itu, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan sebanyak satu bulan setengah gaji kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan Pahang,” katanya di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Beliau berkata kerajaan negeri juga turut bersetuju untuk menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagaimana diumumkan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata pelaksanaan SSPA yang akan mula dibayar bermula Disember 2024 sebanyak lapan peratus dan baki tujuh peratus bermula Januari 2026, melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM55.014 juta.

“Selain itu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang terus menerus memberikan dukungan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah ini. Sikap profesionalisme dan saling menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan Pahang kekal maju dan makmur,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan