KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Lebih 60 usahawan dan pemimpin korporat daripada pelbagai industri diberi penghormatan atas sumbangan yang cemerlang dalam inovasi dan pertumbuhan ekonomi menerusi Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2024.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi BBEA Datuk Dr Muhamad Iqbal Mohamad menekankan program itu berdiri sebagai sistem sokongan penting untuk keusahawanan Bumiputera.
“Kami membayangkan BBEA sebagai platform yang bukan sahaja meraikan kejayaan perniagaan Bumiputera tetapi juga memperkasakan dan menginspirasi mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi," katanya.
Pada tahun ini, Bank Rakyat dan Media Prima Television Networks menerima Anugerah Kecemerlangan dalam alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) sebagai pengiktirafan terhadap inisiatif cemerlang mereka dalam bidang ESG.
Muhamad Iqbal turut mendedahkan pelancaran BBEA Malaysia Timur 2025 merupakan langkah perluasan program yang bertujuan mengiktiraf komuniti perniagaan di Sabah dan Sarawak.
"Dengan perluasan platform ini, kami berhasrat untuk menghargai pencapaian keusahawanan unik di Malaysia Timur dan mengukuhkan lagi kemakmuran bersama komuniti perniagaan Bumiputera," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam ucaptamanya pada majlis yang berlangsung pada Khamis menekankan peranan penting perniagaan Bumiputera dalam memacu kemakmuran negara.
“Kemakmuran dan kekuatan negara kita tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan besar perniagaan Bumiputera.
"Platform seperti BBEA mengiktiraf dan memperkasakan usahawan Bumiputera untuk membina keyakinan, kredibiliti, dan rangkaian yang kukuh bersama rakan-rakan industri,” katanya.
Turut hadir ialah Tengku Syarif Temenggong Perlis Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din, dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia, Rizal Nainy.
Pencalonan untuk BBEA 2025 akan dibuka secara rasmi pada 1 Dis 2024 dan akan berakhir dengan majlis gala pada April 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial