GEORGE TOWN, 29 Nov (Bernama) -- Sikap tidak bertanggungjawab masyarakat yang gemar membuang sampah di merata tempat telah mengundang masalah pencemaran berhampiran jeti nelayan di Kampung Binjai, Bayan Lepas, di sini.
Tinjauan Bernama mendapati sekitar kawasan berkenaan dipenuhi dengan longgokan sampah yang terdiri daripada botol, plastik, kertas, tin selain sisa daun dan kayu, malah ia sudah kelihatan seumpama sebuah kolam takungan yang dipenuhi sampah sarap berikutan kedudukannya yang rendah.
Nelayan Abdul Malik Dollah, 56, mendakwa sampah-sarap itu dibawa dari bukit berhampiran ketika hujan lebat dan biasanya ia akan dihanyutkan mengikut aliran sungai hingga ke laut, namun kini sampah berkenaan terperangkap di situ.
“Kita bimbang keadaan ini akan memberi kesan terhadap kesihatan penduduk kerana saya dengar sudah ada kes denggi yang berlaku di sini dan kita tak mahu ia jadi bertambah buruk,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap tindakan dapat diambil pihak berkenaan untuk membersihkan kawasan tersebut serta meratakannya supaya ia tidak lagi menakung air atau sampah.
Abdul Malik juga berharap sistem perparitan berhampiran dapat diselenggara dengan baik supaya air dapat mengalir dengan sempurna.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan sikap sebilangan masyarakat di negeri ini yang masih mengamalkan mentaliti kelas ketiga, gemar membuang sampah di merata tempat hingga menimbulkan pelbagai masalah.
Pegawai pendidikan CAP N. V. Subbarow yang turut turun meninjau lokasi itu menyifatkan situasi itu amat menjijikkan, apabila sampah sarap terutama botol-botol tersekat hingga menjadi longgokan besar dan bertakung, yang boleh menimbulkan kesan ke atas alam sekitar dan kesihatan penduduk di kampung itu.
“CAP terperanjat melihat keadaan pencemaran buangan sisa plastik terutama sekali botol-botol kosong yang dibuang di kawasan ini yang menyebabkan keadaan sekitar kawasan ini tercemar dengan serius. CAP juga akan mengambil langkah susulan, mengusulkan masalah ini kepada pihak-pihak berwajib supaya ia dapat ditangani segera,” katanya kepada media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial