WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Status Agama: Permohonan Semakan Kerajaan Negeri Perlis Didengar 20 Feb

29/11/2024 07:39 PM

PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 20 Feb tahun depan untuk mendengar permohonan Kerajaan Negeri Perlis bagi menyemak semula keputusan terdahulu dalam usaha mengembalikan status agama Islam membabitkan tiga anak Loh Siew Hong.

Peguam Loh iaitu A.Srimurugan mengesahkan tarikh itu kepada Bernama selepas pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Norazimin Kassim,

Turut hadir pada prosiding itu peguam Daniel Farhan Zainul Rijal yang mewakili Kerajaan Negeri Perlis.

Pada 30 Okt lepas, Kerajaan Negeri Perlis memfailkan permohonan itu kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan terdahulu yang menafikan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan tiga lagi.

Kerajaan Negeri Perlis mendakwa keputusan itu telah menjejaskan hak mereka untuk didengar dan memohon pendengaran semula bagi kebenaran merayu. 

Loh pula memfailkan afidavit bagi membantah permohonan itu.

Permohonan itu ditolak pada 14 Mei lepas, menghalang pemohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Jan 2024.

Mahkamah Rayuan telah membatalkan penukaran agama tiga anak Loh kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu.

Keputusan itu telah mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi pada 2023 yang menolak permohonan semakan kehakiman Loh untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.

Loh, 37, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya M Nagahswara, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.

Tiga kanak-kanak itu yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan