Oleh Nurul Jannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat, berikutan penjualan saham wajaran tinggi terpilih yang meningkat semasa jam terakhir dagangan, terutama di kaunter utiliti dan logistik.
Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.20 mata atau 0.20 peratus kepada 1,594.29 daripada 1,597.49 ketika ditutup semalam.
Indeks itu dibuka 1.13 mata lebih rendah kepada 1,596.36 dan bergerak antara 1,586.39 hingga 1,603.59 sepanjang dagangan hari ini.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 539 berbanding 515 manakala 461 kaunter tidak berubah, 945 kaunter tidak diniagakan dan 56 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.43 bilion unit bernilai RM3.19 bilion daripada 2.79 bilion unit bernilai RM2.90 bilion semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beberapa sektor mengalami pemulihan, dengan saham perbankan, perladangan, pembinaan, syarikat telekomunikasi dan pengguna pula memacu kenaikan.
“Sebaliknya, beberapa kaunter penjagaan kesihatan dan utiliti mengalami tekanan ekoran pengaruh penjualan asing,” katanya.
Beliau berkata kalangan indeks serantau ditutup pada prestasi yang tidak menentu susulan kenaikan inflasi Jepun kepada 2.6 peratus bagi November, sekali gus mencetuskan spekulasi berkenaan kenaikan kadar faedah oleh Bank of Japan.
Bagaimanapun, pasaran China dan Hong Kong meningkat selepas didorong keuntungan industri yang lebih baik, menunjukkan kestabilan dan menawarkan sedikit sokongan kepada pasaran tempatan, katanya.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan pula berkata ketidakstabilan pasaran hari ini disebabkan cuti Hari Kesyukuran di Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.
Oleh itu, waktu dagangan dipendekkan pada Jumaat, yang mengakibatkan pasaran bergerak tanpa hala tuju.
“Peserta pasaran berkemungkinan meneruskan cuti sehingga hujung minggu, menyebabkan aktiviti dalam pasaran kewangan menjadi suram dalam masa terdekat,” katanya.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Tenaga Nasional menjadi penyumbang utama kepada penurunan apabila merosot 32 sen kepada RM13.66, MISC susut 15 sen kepada RM7.25, YTL Power turun lima sen kepada RM3.40, dan YTL Corp berkurang tiga sen kepada RM2.08.
Public Bank dan SD Guthrie masing-masing naik enam sen kepada RM4.47 dan RM4.81, membantu mengimbangi penurunan seterusnya bagi FBM KLCI.
Antara saham aktif, Velesto Energy kurang 2.5 sen kepada 16 sen, manakala Supreme Consolidated, yang telah berpindah daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE hari ini, naik 5.5 sen kepada 30.5 sen.
Aimflex dan MYEG masing-masing menguncup 1.5 sen kepada 16 sen dan 86.5 sen, manakala Capital A susut sembilan sen kepada RM1.0.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 14.10 mata kepada 12,131.13, Indeks FBMT 100 kurang 17.50 mata kepada 11,823.79, dan Indeks FBM 70 menguncup 3.38 mata kepada 17,859.82.
Indeks FBM Emas Shariah jatuh 52.88 mata kepada 12,034.69, manakala Indeks FBM ACE susut 17.49 mata kepada 5,131.65.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 82.70 mata kepada 19,190.03, dan Indeks Perladangan meningkat 42.62 mata kepada 7,531.82.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.31 mata kepada 170.29, manakala Indeks Tenaga jatuh 3.59 mata kepada 812.29.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.93 bilion unit bernilai RM2.93 bilion daripada 1.70 bilion unit bernilai RM2.70 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 823.80 juta unit bernilai RM77.47 juta daripada 745.57 juta unit bernilai RM74.56 juta pada Khamis.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 676.04 juta unit bernilai RM177.21 juta daripada 345.58 juta unit bernilai RM123.11 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 276.46 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (349.98 juta), pembinaan (132.20 juta), teknologi (233.34 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (126.99 juta), hartanah (159.28 juta), perladangan (77.61 juta), REIT (9.53 juta), dana tertutup (48,700), tenaga (389.38 juta), penjagaan kesihatan (63.90 juta), telekomunikasi dan media (25.23 juta), pengangkutan dan logistik (21.83 juta), utiliti (64.71 juta), serta amanah perniagaan (153,100).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial